Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendakwa, masalah kuil di Seksyen 19 Shah Alam berpunca daripada janji Pakatan Rakyat untuk memindahkannya ke Seksyen 23 bagi memenuhi janji pilihanrayanya.

Sedangkan, dakwanya, Katanya kerajaan BN sebelum ini telahpun menyelesaikan masalah tersebut dengan menawarkan dua tapak cadangan - iaitu di Seksyen 18 dan 22 - yang menurutnya merupakan tapak terbaik di Shah Alam.

"Masalahya sekarang, Pakatan Rakyat berjanji kepada rakyat, apabila mereka berjaya memerintah Selangor, mereka akan membina kuil di Seksyen 23. Ini sama juga dengan kes Kampung Buah Pala.

"Jadi, (ini semua) untuk menuntut janji yang telah mereka katakan, bukan kerana kesalahan kerajaan BN. Kita telah siapkan (tapak cadangan). Kalau tengok, tapaknya cukup strategik dan paling sesuai," katanya.

khir toyo Bekas menteri besar Selangor berkata, kedua-dua tapak cadangan tersebut masing-masing berkeluasan 70,000 kaki persegi dan tapak di Seksyen 18 telah mempunyai infrstrukturnya termasuk jalan, lampu jalan dan bekalan elektrik".

Malah, katanya, kemudahan infrastruktur di Seksyen 18 itu sudah siap disediakan sejak tahun 2007 lagi.

Katanya, ini menunjukkan bahawa kerajaan BN dahulu begitu prihatin dengan keperluan penduduk yang beragama Hindu di situ.

Tinjauan Malaysiakini mendapati tapak cadangan di Seksyen 18 - kira-kira 3 kilometer daripada Seksyen 22 - itu agak jauh dari kawasan penduduk dan berdekatan kawasan kilang.

Terbiar kosong

Tempat tersebut yang terletak bersebelahan dengan sebatang sungai, kini kekal kosong tanpa sebarang binaan dan ditumbuhi rumput sahaja.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di tapak di Seksyen 18 itu, Dr Mohd Khir meminta kerajaan negeri supaya berhenti menyalahkan kerajaan dahulu dalam isu pembinaan kuil tersebut.

Beliau juga menyifatkan bantahan penduduk Seksyen 23 - tempat kuil itu mahu dipindahkan - sebagai isu lama.

Menurutnya, ini kerana penduduk di situ memang sudah lama membantah kuil tersebut dipindahkan ke kawasan mereka.

Ekoran itu, katanya, kerajaan BN dulu menawarkan tapak baru untuk kuil tersebut di Seksyen 18 dan 22.

Dr Mohd Khir juga membela tindakan sekumpulan yang membantah pemindahan kuil itu ke Seksyen 23, dengan mengadakan perarakan kepala lembu ke pejabat sekretariat kerajaan negeri, Jumaat lalu.

Beliau menyifatkan perkara itu, bukan isu agama, tetapi kelapa lembu itu, menurutnya bermaksud "kerajaan telah membuat satu keputusan bodoh seperti lembu dalam menangani kontroversi tersebut".

"Mungkin ada kesilapan, tetapi tujuan mereka bawa kepala lembu bukan untuk menghina orang India. Tujuannya hendak menggambarkan kerajaan hari ini bertindak tidak mengikuti fikiran.

"Tapak telah disiapkan, kenapa tidak berfikir? Jadi hendak tunjukkan kerajaan hari ini buat keputusan yang bodoh. Itu sahaja, bukan ada isu agama," katanya.

Ditanya sama ada terdapat penglibatan Umno dalam perarakan kontroversi itu, Dr Mohd Khir berkata beliau tidak tahu dan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk menyiasatnya.

"Saya tidak kenal pasti. Bagi tahu dia, polis siasat. Mereka yang terlibat, itu tindakan polis," katanya.

ADS