Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Video kepala lembu: SKMM ambil kenyataan editor Malaysiakini
Diterbitkan:  Sep 5, 2009 6:48 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memulakan siasatan berhubung dua video tentang protes kepala lembu, dengan mengambil kenyataan rasmi daripada ketua pengarang portal berita independen, Malaysiakini.

Pegawai SKMM datang ke pejabat Malaysiakini di Bangsar Utama pada jam 2 petang untuk menyoal ketua pengarangnya, Steven Gan, yang semalam menegaskan video tersebut tidak akan dibuang dari lamanweb itu sepertimana yang diminta oleh SKMM.

Suruhanjaya itu telah menghantar surat meminta Malaysiakini membunag video tersebut yang menurutnya berunsur ‘provokatif', termasuk klip kumpulan yang membantah kuil Hindu dipindah ke Seksyen 23 Shah Alam dengan mengarak kepala lembu ke bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor.

Dalam suratnya kepada Malaysiakini, SKMM berkata video tersebut mengandungi kandungan yang ofensif dengan niat untuk menimbulkan kemarahan, terutama kaum India.

Pemangku pengarah kanan bahagian pemantauan dan penguatkuasa SKMM, Abdul Halim Ahmad, dalam suratnya yang bertarikh 3 September berkata, ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 211/233 AKta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Dalam pertemuan selama 45 minit hari ini, Gan memberitahu pegawai penyiasat SKMM, Mohd Shukri Jamaluddin bahawa Malaysiakini menjalankan tugasnya sebagai sebuah organisasi media dalam melaporkan berita-berita penting.

"Saya beritahu mereka bahawa kami tidak melanggar Akta tersebut kerana kami tidak berniat untuk menimbul ‘kemarahan' sesiapa pun dengan menyiarkan video tersebut, tetapi menyiarkan protes kepala lembu itu untuk pengetahuan awam," katanya.

Di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia, mereka yang didapati bersalah menyiarkan kandungan tidak senonoh, lucah, palsu, ugutan, atau ofensif, dengan niat untuk menimbulkan kemarahan, menyalahguna, mengungut dan mengganggu mana-mana pihak, boleh didenda sehingga RM50,000 atau dijatuhkan hukuman penjara.

[Baca berita penuh]

ADS