Samy Vellu bidas Dr M, selar Utusan

       

Presiden MIC, Datuk S Samy Vellu membidas mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyelar akhbar Utusan Malaysia milik Umno kerana mencampuri pemilihan parti itu.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, beliau berkata Dr Mahathir merupakan pakar dalam seni "memusnahkan timbalannya".

Samy Vellu berkata, beliau hanya mempunyai seorang timbalan selama 25 tahun, tetapi Dr Mahathir mempunyai empat timbalan selama 22 tahun memegang jawatan.

"Apa yang berlaku kepada (Tun) Musa Hitam, apa yang berlaku kepada (Tun) Ghafar Baba dan apa yang terjadi kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim... orang yang amat dipujinya?"

Ini merupakan pertama kali Samy Vellu mengkritik Mahathir secara terbuka walaupun mantan perdana menteri itu pernah membuat komen negatif terhadapnya sebelum ini.

Bagaimanapun, presiden MIC itu menegaskan bahawa beliau masih menganggap mantan perdana menteri itu sebagai seorang pemimpin agung dan amat menghormatinya.

Samy Vellu mengulas laporan dalam akhbar Tamil Makkal Osai semalam yang memetik Dr Mahathir menyuarakan sokongannya terhadap calon timbalan presiden MIC, Datuk S Subramaniam.

Mengenai laporan Utusan Malaysia, Samy Vellu melabel akhbar berbahasa Melayu itu sebagai satu penerbitan yang ‘rasis' yang berlagak sebagai "abang-besar".

Utusan Malaysia menyiarkan berita muka depan hari ini yang memetik beberapa penganalisa politik yang berpendapat Samy Vellu harus berhenti.

Baca berita penuh

Malaysiakini
terkini untuk anda