Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Tiada guna popular di kalangan ahli sahaja...

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan pemimpin parti komponen BN supaya menjadi popular di kalangan rakyat untuk memastikan BN terus relevan di mata rakyat.

"Saya ingatkan, tidak guna jadi popular di kalangan ahli parti sahaja, tetapi tidak popular di kalangan rakyat.

"Jika mahu terus relevan, saya ingatkan kepada Umno, MCA, MIC dan komponen BN bahawa pertimbangan bergantung kepada sejauh mana kita popular di kalangan rakyat, bukan di kalangan ahli parti sahaja.

najib opens MIC annual meeting02 "Parti komponen jangan lupa kepada perspektif ini, kalau lupa, rakyat akan menghukum kita masa pilihanraya yang ke-13 akan datang," kata Najib yang juga pengerusi BN sewaktu merasmikan perhimpunan agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra pagi ini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan presiden parti-parti komponen BN yang lain.

Menurut Najib lagi, rakyat hari ini - tidak seperti rakyat Malaysia tahun 50an - sudah cerdik untuk membolehkan mereka membuat pertimbangan.

"Rakyat sudah membuka pemikiran. Untuk menjadi parti terus relevan, kita mesti mempunyai hubungan dengan rakyat, mempunyai sentuhan dengan rakyat. Sekiranya ada sentuhan, kita akan mendapat sokongan," katanya.

KPI untuk MIC

Dalam ucapan itu juga, Najib juga turut mengenakan Indek Kunci Pencapaian (KPI) kepada MIC sepertimana beliau memperkenalkan dasar tersebut sejurus selepas menjadi perdana menteri.

"KPI MIC adalah untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India kepada BN, tidak ada yang lain.

"Kerja bersungguh-sungguh, jangan buat perkara yang tidak patut dibuat. Berkhidmat kepada masyarakat India, berkhidmat kepada rakyat Malaysia.

"Kata pepatah, kalau ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanya. (Amalkan sikap) rendah diri, kita tidak akan kalah," katanya.

Pendekatan sebut kata Najib adalah pendekatan yang dikehendaki oleh BN untuk memastikan BN menjadi sebuah parti yang baik dan memastikan BN mempunyai cara kepemimpinan yang disenangi rakyat.

Dalam ucapan itu juga, beliau menyoroti kembali bagaimana beliau melakukan kunjungan di kawasan yang ramai masyakarat india, seperti di Brickfileds, Lembah Pantai, beberapa hari selepas dilantik menjadi perdana menteri.

"Saya berasa terhibur dengan kunjungan itu. Saya merasakan saya bersama-sama dengan rakyat. Kalau saya boleh buat perkara ini, pemimpin lain pun boleh. Jadi orang yang rendah diri, mesra rakyat.

‘Jangan berlagak’

“Rakyat benci sekiranya kamu berlagak, salah guna kuasa dan tunjukkan kekayaaan. Rakyat sayang jika kita jadi pembela rakyat yang sebenarnya," katanya.

Dalam ucapannya juga, Najib turut menempelak Pakatan Rakyat. najib opens mic annual meeting 03

"BN adalah institusi politik yang terlalu banyak berjasa kepada negara, kerana berusaha membina perpaduan politik, maka Malaysia boleh membangun dan berjaya sebagai sebuah negara bangsa.

"Pembangkang belum tahu bagaimana memerintah negara. Satu parti nak sekular, satu parti nak negara Islam, dan satu lagi entah apa nak buat.

"Saya nak tanya pembangkang, janji Kampung Buah Pala. Siapa janji kepada penduduk Kampung Buah Pala.... kalau kami menang kamu akan tetap berada di sini selama-lamanya," katanya.

Menurut Najib, sebenarnya Pakatan telah menyalahi janji tetapi BN akan menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.

Perpaduan kaum

Najib yang juga presiden Umno mahu melihat BN sebagai sebuah parti yang inklusif dan meraikan kepelbagaian, sesuai mengikut acuan dan konsep 1Malaysia iaitu bersikap adil dengan semua kaum.

"Kita harus mengingatkan diri kita, bukan sahaja di dalam dewan ini, tetapi di luar dewan, kita harus mengingatkan generasi muda bahawa negara kita terkehadapan kerana permuafakatan antara kaum,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Najib melaungkan kata semangat kepada perwakilan, "Tunjukkan kamu bersama-sama dengan BN" beberapa kali.

"Kita berkongsi satu cita-cita, kita berkongsi 1Malaysia," kata Najib sambil disambut oleh teriakan "ya" dan tepukan gemuruh daripada perwakilan yang hadir.

ADS