Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Mahkamah tolak rayuan batalkan keputusan peperiksaan CLP

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan oleh seorang calon Sijil Amalan Perundangan (CLP) untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonannya untuk mengekalkan keputusan asal peperiksaan CLP Julai 2001.

Hakim Datuk Abdul Hamid Mohamed, Datuk Saari Mohd Yusof dan Datuk Wira Mohd Noor Ahmad, dengan sebulat suara menolak rayuan Chan Kwai Chun.

Chan adalah antara 921 calon CLP yang terjejas dengan tindakan Lembaga Pengiktirafan Profesion Perundingan membatalkan keputusan peperiksaan CLP Julai 2001 kerana disyaki berlaku pembocoran soalan dan perubahan markah.

Dalam keputusan lisannya, Hamid berkata, pada hakikatnya, Chan memohon mahkamah supaya menggunakan budi bicaranya untuk mengisytiharkan calon-calon yang gagal itu, sebagai telah lulus peperiksaan itu.

Bagaimanapun, katanya, ianya adalah satu pengisytiharan yang salah.

Kami tidak fikir ia adalah untuk kepentingan profesion perundangan atau kepentingan umum bagi pihak mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk membuat pengisytiharan seumpama itu, kata Hamid yang turut memberitahu para peguam bahawa keputusan bertulis akan dikeluarkan kemudian.

Peguambela Chan, Karpal Singh memberitahu pemberita kemudiannya bahawa beliau akan memohon penangguhan untuk membawa perkara itu selanjutnya ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 10 April lalu, mahkamah menangguhkan penghakimannya selepas mendengar hujah daripada Karpal dan juga peguam Tan Sri Zaki Azmi, yang mewakili lembaga berkenaan.

Tambah markah

Zaki dalam hujahnya berkata lembaga itu akan bertindak bertentangan Akta Profesion Perundangan sekira ia mengiktiraf seseorang calon, yang gagal dalam peperiksaannya, sebagai seorang yang berkelayakan.

Katanya, keputusan untuk membatalkan keputusan peperiksaan pada bulan Julai lalu itu dibuat berdasarkan kepada fakta-fakta yang dikemukakan kepada lembaga itu oleh pengarah peperiksaannya ketika itu, Khalid Yusoff.

Menurutnya lagi, keputusan awal lembaga itu juga dibuat berdasarkan kepada keterangan tidak tepat daripada Khalid yang telah bertindak menambah markah bagi calon-calon tertentu, sedangkan bidang tugasnya hanya memasukkan markah ke dalam senarai induk.

Karpal pula berhujah bahawa calon-calon tidak sepatutnya disalahkan berikutan tindakan Khalid yang didakwa mengubahkan markah sebenar peperiksaan CLP pada Julai 2001.

Katanya, lembaga berkenaan, yang merupakan majikan Khalid, sepatutnya dipertanggungjawabkan bagi perbuatan Khalid, sekiranya benar dia yang bertanggungjawab mengubah markah yang diperolehi oleh para calon di dalam senarai induk itu.

Karpal berkata, oleh kerana lembaga itu bergantung kepada senarai induk yang disediakan oleh Khalid, maka ternyatalah ia lalai untuk memastikan bahawa senarai itu adalah betul.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Tinggi telah menolak saman yang dikemukakan oleh Chan terhadap lembaga berkenaan dan keputusannya turut membabitkan saman lain yang dikemukakan oleh 15 calon CLP yang lain.

Pada 27 November tahun lalu, selepas membatalkan keputusan peperiksaan awalnya, lembaga berkenaan mengumumkan keputusan yang telah disemak semula, di mana hanya 119 calon telah lulus, berbanding 232 orang sebelumnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS