Dasar pendidikan antara faktor pelajar lemah Bahasa Inggeris: GPMS

comments     Yusof Ghani     Published     Updated

Kaedah pembelajaran yang tidak berkesan dan guru-guru yang tidak berkemahiran merupakan sebab-sebab utama pelajar di luar bandar tidak mampu menguasai Bahasa Inggeris dengan baik.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Suhaimi Ibrahim berkata kajian yang dibuat oleh pertubuhan itu dua tahun lalu membuktikan bahawa pelajar dan ibubapa Melayu sebenarnya sedar akan kepentingan Bahasa Inggeris, tetapi tidak mampu menguasainya disebabkan oleh kekangan tersebut.

"Secara tidak lansung, pelajar di negara ini, terutamanya Melayu telah menjadi mangsa kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang tidak lagi mengutamakan Bahasa Inggeris," Suhaimi memberitahu malaysiakini .

Beliau menambah sudah sampai masanya untuk kerajaan membetulkan kembali keadaan supaya anak-anak Melayu boleh menguasai Bahasa Inggeris dan seterusnya bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dalam bidang pelajaran dan pekerjaan.

"Buat masa ini, nampaknya Bahasa Inggeris cuma dikuasai oleh golongan elit yang tinggal di bandar dan ini secara jelas memisahkan mereka dengan anak-anak Melayu yang berada di kampung-kampung," ujar beliau.

Oleh itu, beliau berkata saranan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad patut diberi perhatian yang serius. Isnin lalu Dr Mahathir telah berkata bahawa kerajaan sedia mewujudkan kembali sekolah aliran Inggeris untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris jika rakyat mahukannya.

Suhaimi mengingatkan pihak-pihak tertentu agar tidak memandang serong keatas pandangan perdana menteri dengan mengingatkan mereka akan kepentingan yang amat sangat untuk memahirkan diri di dalam Bahasa Inggeris yang kini tidak boleh dipertikaikan lagi.

"Bagaimana pun, eloklah jika perkataan `aliran Bahasa Inggeris' itu digantikan dengan perkataan lain yang lebih sesuai supaya tidak menimbulkan kesangsian atau kejutan di kalangan mereka yang mahu mempertahankan aliran yang ada," kata Suhaimi.

Jangan sentimental

Sementara itu Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) Datuk N Siva Subramaniam berharap tidak ada golongan yang terlalu "sentimental" dengan bahasa kebangsaan sehingga tidak nampak akan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu.

"Apatah lagi dunia hari ini menuju ke era globalisasi yang menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan," hujah beliau.

Bekas pensyarah di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, John Doraisamy turut mengakui kewajaran cadangan perdana menteri untuk memperkenalkan kembali aliran Bahasa Inggeris di sekolah.

Menurut beliau, pengalaman 35 tahun sebagai pendidik membuktikan bahawa penguasaan bahasa yang baik adalah penting untuk membantu pelajar cemerlang di dalam pelajaran.

"Ada pelajar yang bijak tetapi tidak cemerlang di universiti kerana hampir semua buku dan rujukan adalah di dalam Bahasa Inggeris yang agak asing bagi mereka. Oleh itu, mereka terpaksa merujuk kepada nota kuliah semata-mata," kata beliau.

Naib presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dr S Vijayaratnam turut mengalu-alukan pandangan perdana menteri.

"Sejak sekolah aliran Inggeris dihentikan di pertengahan tahun 70an, mutu Bahasa Inggeris di negara kita telah merosot dengan teruknya. Walaupun aliran ini diwujudkan kembali dengan segera, negara sudah ketinggalan satu generasi yang mahir di dalam bahasa tersebut," ujar Vijayaratnam.

Beliau menambah bahawa pengujudan semula aliran Bahasa Inggeris memerlukan usaha yang keras, tetapi masih ramai guru-guru dari era pendidikan Bahasa Inggeris yang mampu membantu untuk merealisasikannya.

"Kita tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menguasai bahasa tersebut," kata beliau.

Kesan buruk

Bagaimanapun, exco pendidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Azwiralbukhairi Ab Aziz tidak bersetuju dengan pandangan untuk mewujudkan kembali aliran Inggeris di Malaysia.

"Pengenalan semula sekolah aliran Inggeris akan memberi kesan jangka panjang yang tidak memenuhi impian negara bagi membentuk sistem pendidikan kebangsaan yang tersendiri," kata beliau.

"PKPIM menyeru agar usaha-usaha penggunaan istilah bahasa Melayu ke dalam aplikasi sains dan teknologi serta istilah-istilah perniagaan diteruskan kerana peminggiran penggunaan bahasa Melayu yang berlaku kini akan memberi kesan besar di masa hadapan," tambahnya.

PKPIM turut menyarankan agar guru-guru bahasa Inggeris yang mahir ditempatkan di luar bandar serta kaedah pengajaran dipertingkatkan lagi.

Keep Malaysiakini independent!

Malaysiakini will be 18 this year. That we’ve survived this long is because of you.

Your support matters. A lot. Especially those who pay RM150 annually, RM288 biennially or RM388 triennially to keep Malaysiakini independent from government/opposition influence and corporate interests. Advertising alone will not keep Malaysiakini afloat.

Together, we’ve gone far. We’ve covered three prime ministers, four general elections, five Bersih rallies, and countless scandals. But the journey continues.

Help us deliver news and views that matter to Malaysians. Help us make a difference for Malaysia.

Support Malaysiakini



Malaysiakini
news and views that matter


Sign In