Sebuah lagi NGO pejuang kebebasan media yang berpengaruh luas hari ini menyatakan sokongan kepada Malaysiakini yang enggan menarik balik dua klip video berhubung demonstrasi mengarakkan kepala lembu, hujung Ogos lalu.
Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), yang berpangkalan di Paris, berjanji untuk berdiri di belakang akhbar web popular itu berhubung arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuang video berkenaan, awal bulan ini.
" Malaysiakini berhak mempertahankan diri daripada usaha penapisan kerajaan.
"Pihak berwajib harus memahami bahawa rakaman itu menunjukkan sesuatu yang telah berlaku, yang mungkin memalukan sesetengah pihak berkuasa tetapi tidak boleh dianggap satu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan.
"Kami menggesa SKMM mengetepikan arahannya pada 3 September lalu dan kami juga menyeru pihak-pihak berwajib menghentikan sebarang penapisan dan ugutan yang memaksa wartawan mengamalkan saringan diri sendiri."
Keengganan Malaysiakini berbuat demikian mendorong suruhanjaya itu menjalankan siasatan intensif terhadap portal berita itu selama beberapa hari awal bulan ini, termasuk dua syarikat pelayan webnya.
SKMM dipercayai akan mengambil keterangan terakhir ketua pegawai eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran, sekali lagi, dalam masa terdekat selepas menyiasat sekumpulan besar editor, wartawan, juruvideo dan kakitangan teknikal yang terlibat menerbitkan dua video berkenaan.
Kenyataan RSF ini menyertai desakan beberapa NGO antarabangsa yang menggesa siasatan SKMM dihentikan.
NGO yang terlibat termasuklah Human Rights Watch (HRW), Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) dan Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa), sementara sokongan dalam negara disuarakan oleh MCA dan Pemuda Gerakan.
Pada 5 September, ketua pengarang kumpulan Malaysiakini Steven Gan disiasat selama 45 minit berhubung kes tersebut.
SKMM mengarahkan akhbar web itu menarik balik dua video: Temple demo: Residents march with cow's head (28 Ogos) dan Hisham: Don't blame cow-head protesters (2 Sept).
