Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Waspada gelombang kedua H1N1
Diterbitkan:  Sep 25, 2009 3:34 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Kerajaan akan memastikan persiapan dan rawatan influenza A (H1N1) ditingkatkan bagi menghadapi gelombang kedua virus itu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tekankan kemungkinan gelombang kedua akan datang dan WHO menyeru agar semua negara buat persiapan hadapi gelombang kedua H1N1," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Klinik Bergerak Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) dan kempen kesedaran kesihatan di Kuala Lumpur hari ini.

azlan Beliau berkata perkara itu dimaklumkan ketika beliau menghadiri mesyuarat bersama menteri-menteri kesihatan dari lebih 40 negara di Hong Kong baru-baru ini yang membincangkan tentang isu semasa termasuk pandemik H1N1.

Sehubungan itu, kementerian akan memastikan semua hospital menyediakan cukup peralatan termasuk katil di unit rawatan rapi (ICU) dan memastikan agar rawatan diperkemaskan dan diberi dengan cepat.

"Kita juga perlu kesan pesakit H1N1 dengan cepat dan awal kerana kalau lambat, ia boleh membawa mudarat dan maut.

"Orang ramai jangan ambil remeh mengenai penyakit ini," katanya.

Hanya satu dos vaksin

Liow juga berpuas hati dengan tahap kesedaran orang awam di negara ini yang semakin meningkat kerana dengan sokongan media yang melaporkan setiap hari, orang ramai lebih faham mengenai wabak itu.

Beliau berkata Malaysia juga akan terus meningkatkan rawatan antivirus dan immunoglobin untuk meningkatkan ketahanan pesakit terhadap bakteria dan virus.

"Kita akan lihat pelbagai kaedah rawatan di negara lain juga. Di China dan Hong Kong, mereka menggunakan plasma atau serum daripada orang yang sembuh daripada H1N1 untuk merawat pesakit yang tenat di ICU dan Malaysia juga mempunyai kaedah rawatan tersendiri," katanya.

Beliau berkata WHO akan terus melihat sifat-sifat virus influenza A (H1N1) jika ada apa-apa pertukaran dan akan memaklumkan kepada negara lain dengan segera.

Mengenai vaksin, Liow berkata ia akan berada di pasaran hujung Oktober ini dan WHO juga telah mengatakan bahawa hanya satu dos vaksin diperlukan berbanding dua dos sebelum ini. BERNAMA

ADS