Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manoharan dibebas sepenuhnya dari ISA
Diterbitkan:  Oct 3, 2009 2:22 PM
Dikemaskini: 6:23 AM

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar hari ini berkata ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan telah dibebaskan sepenuhnya daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Kementerian Dalam Negeri.

Manoharan yang dibebaskan daripada tahanan ISA secara bersyarat pada 9 Mei tahun ini, perlu melaporkan diri di Balai Polis Daerah Klang setiap Isnin mulai 8 pagi hingga 5 petang dan berkelakuan baik.

"YB Manoharan telah dibebaskan sepenuhnya oleh Kementerian Dalam Negeri," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai Manoharan yang pergi ke Tanzania untuk menghadiri Persidangan Persatuan Anggota Parlimen Komanwel (CPA)mulai 28 Sept hingga 6 Oktober, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepa merasmikan Pameran dan Seminar Pencegahan Jenayah di kampus utama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam hari ini.

Ketika ditanya sejak bila Manoharan dibebaskan sepenuhnya, beliau berkata: "Saya tidak pasti..saya dimaklumkan dia telah dibebaskan sepenuhnya."

Sebelum ini, Manoharan dilaporkan telah mendapatkan kebenaran polis untuk menghadiri persidangan itu tetapi telah ditolak.

Khalid, sebelum ini dilaporkan sebagai berkata polis menolak permohonan Manoharan disebabkan beliau dibebaskan dengan bersyarat.

Persidangan CPA itu merupakan aturcara tahunan antarabangsa yang dihadiri oleh wakil Dewan Undangan negeri dari negara-negara Komanwel.

ADS