Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Oktober diisytihar bulan bahasa
Diterbitkan:  Oct 6, 2009 2:42 PM
Dikemaskini: 6:49 AM

Selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri berkata langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi.

"Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita," katanya pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di Kuching hari ini.

Sarawak dipilih menjadi tuan rumah bagi majlis bertema "Bahasa Jiwa Bangsa" itu kerana terdapat pelbagai kaum yang hidup penuh harmoni dan dapat menjadi ikon konsep 1Malaysia.

Muhyiddin yang juga menteri pelajaran berkata pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang bulan ini memberikan kesempatan kepada rakyat untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan.

"Kerajaan juga akan memperkenalkan Anugerah Tokoh Ilmuwan Negara mulai tahun depan sebagai satu pengiktirafan kepada ilmuwan negara yang memberikan komitmen dalam usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, bahasa kemajuan dan bahasa budaya tinggi," kata Muhyiddin.

Katanya anugerah tersebut akan disampaikan kepada penerima yang layak sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan.

Beliau berkata keyakinan terhadap keupayaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan adalah berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan sedia ada yang berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara selama ini.

"Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset," katanya sambil merujuk kepada pelaksanaan dasar baru dalam sistem pendidikan bagi memartabatkan bahasa Malaysia di samping memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan akhirnya akan pupus," katanya.

Muhyiddin meminta institusi pengajian tinggi, agensi pelaksanaan dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan ilmuwan berkerjasama menghasilkan lebih banyak karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi dan bermutu tinggi.

Di samping itu, katanya, usahasama strategik dengan masyarakat penutur bahasa Melayu di Indonesia, Brunei dan Singapura boleh diwujudkan untuk menyemarakkan lagi penggunaannya sebagai bahasa ilmu.

Beliau berkata ada peluang yang baik untuk menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam lingkungan yang lebih luas berikutan kedudukan bahasa Melayu pada tempat kelima sebagai bahasa utama dunia dengan bilangan penutur seramai 300 juta orang pada masa kini.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata kerajaan negeri akan sentiasa memberi sokongan dan dorongan yang padu kepada program Bulan Bahasa Kebangsaan untuk mempopularkannya.

Walaupun Sarawak memperjuangkan bahasa Malaysia lebih lambat dibandingkan di Semenanjung, beliau berkata ia telah menjadi satu kaedah penyatuan bagi masyarakat berbilang kaum di negeri ini, yang mempunyai pelbagai loghat dan bahasa. BERNAMA

ADS