Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7.08pm PAS mengesan lebih banyak pemilih yang namanya dimasukkan dua kali dalam daftar pemilih, termasuk melalui kad pengenalan tentera, yang akan digunakan pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Ahad ini.

Naib Presidennya Salahuddin Ayub berkata, setakat semakan mereka sehingga tengah hari ini, sekurang-kurangnya 500 pemilih terlibat dengan keganjilan itu – yang membimbangkan parti itu kemungkinan berlaku pengundian dua kali.

"Kita dapat kesan ratusan nama. Setakat tengah hari ini, paling kurang pun ada 500 orang," katanya, yang bertindak sebagai pengarah pilihan raya pusat PAS di DUN tersebut.

Semalam Malaysiakini melaporkan parti itu mendakwa ia berjaya mengesan nama kira-kira 200 pemilih yang didaftarkan sebanyak dua kali dalam daftar pemilih.

Sehubungan itu, PAS membangkitkan kontroversi ini dalam pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya jam 3 petang ini.

"Kita harap, daftar pemilih ini dapat diputihkan," kata Salahuddin ketika dihubungi hari ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS Suhaizan Kaiat menyertai pertemuan itu.

Salahuddin berkata, PAS membangkitkan isu hanya seorang ejen calon dibenarkan memantau perjalanan pengundian pos melibatkan lebih 4,500 tentera, bagi lapan saluran di tempat pembuangan undi pos di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).

Beliau, juga ahli parlimen Kubang Kerian, berkata PAS turut membangkitkan soal tempoh pendek pemulangan undi pos selama satu hari sebelum tarikh pengundian biasa.

"Pada 10 haribulan, baki undi itu akan dipulangkan melalui pos. Satu hari (untuk kiriman pos) tidak munasabah, (melalui) kurier pun tidak boleh sampai,” tambahnya.

Pada Khamis dan Jumaat ini, anggota-anggota tentera di lapan kem akan memilih sama ada calon BN Tan Sri Isa Samad atau calon PAS Zulkefly Mohamad Omar.

Sementara itu, Salahuddin menyifatkan kenyataan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) bahawa ramai pengundi pos tidak menukar status selepas bersara sebagai "pembongkaran satu taktik jahat".

"Kenyataan itu membongkar satu taktik jahat. Kenapa nama-nama pesara ini masih terdapat dalam sistem sedia ada? Terdapat pelbagai perkara pelik," katanya.

Presiden PBTM Datuk Muhammad Abdul Ghani hari ini dilaporkan berkata, ramai daripada bekas anggota tentera tidak mendaftar sebagai pengundi biasa selepas mereka tamat perkhidmatan.

Beliau juga menasihatkan pesara tentera supaya mendaftar sebagai pengundi biasa bagi memenuhi tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia.

Ditanya sama ada masalah penukaran status itu berpunca daripada sikap pesara tentera sendiri yang tidak mengambil inisiatif, Salahuddin berkata:

"Hendak undi atau tidak, itu hak mereka. Tugas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), apabila mereka (tentera) bersara, status mereka mestilah dikemaskini secara automatik.”

Dalam setiap pilihan raya, undi pos sentiasa menjadi isu pembangkang kerana mencurigai wujudnya penyelewengan yang memihak kepada calon BN.

Di Bagan Pinang, jumlah pemilih pos sangat besar - 4,620 daripada 13,664 orang yang layak membuang undi.

ADS