Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gegaran di Bkt Tinggi akibat penstabilan batu-bata
Diterbitkan:  Oct 9, 2009 11:06 AM
Dikemaskini: 12:15 PM

kemaskini 7.25pm Kejadian gegaran yang dilaporkan berlaku di sekitar Bukit Tinggi semalam disebabkan proses penstabilan semula struktur batu-bata di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Yap Kok Seng berkata gempa bumi berskala kecil iaitu kurang daripada 2.8 pada skala Richter tidak menyebabkan kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.

"Kejadian gempa bumi yang berlaku di sekitar Bukit Tinggi merupakan satu proses penstabilan semula struktur batu-bata di sekitar Zon Garis Sesar Bukit Tinggi.

"Proses penstabilan ini dipercayai berlaku ekoran daripada himpitan batu-bata akibat beberapa kejadian gempa bumi bermagnitud besar yang berlaku sejak beberapa tahun lalu iaitu pada 26 Dis 2004 di Aceh, di Nias (28 Mac 2005) dan yang terkini di Padang dan Bengkulu (semuanya Indonesia) pada 1 Okt 2009," katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Gempa Bumi Bukit Tinggi di Pejabat Daerah Bentong hari ini.

Beliau berkata pihaknya kini juga memantau lebih terperinci aktiviti gegaran di kawasan berkenaan termasuk kawasan sekitar dan kawasan Janda Baik, Pahang.

Menurutnya berdasarkan pola kejadian dan sejarah lokasi, pihaknya berpendapat hanya gegaran lemah atau gempa bumi bermagnitud kecil sahaja yang berpotensi berlaku di zon sesar Bukit Tinggi itu.

Turut hadir dalam taklimat itu Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohd Tajuddin Abdullah.

Sementara itu, Mohd Tajuddin berkata penduduk yang tinggal di kawasan Bukit Tinggi, Janda Baik dan sekitarnya perlu menyalurkan maklumat segera kepada pihak berwajib sekiranya berdepan situasi mencemaskan apabila berlaku gegaran di kawasan berkenaan.

"Maklumat awal yang diterima membolehkan tindakan yang lebih pantas termasuk menggerakkan pasukan bantuan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini," katanya.

Pada kejadian semalam, sebanyak lapan gegaran lemah dikesan dan dilaporkan dirasai berlaku oleh penduduk tempatan di sekitar daerah Bukit Tinggi, Pahang, dari 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS