Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 2.55pm Kumpulan pro-Mahasiswa di tiga universiti utama di Lembah Klang berura-ura memboikot pilihan raya kampus masing-masing sekiranya sistem pengundian berkomputer tetap dijalankan.

Kumpulan siswa dari Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) kini membentuk Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) untuk mempergiatkan lagi bantahan mereka.

Selain UM dan UKM, Universiti Utara Malaysia (UUM) juga memperkenalkan pengundian secara elektronik, atau e-undi, pada pilihan raya kampus sesi ini, tidak lama lagi.

Kaedah e-undi mula diperkenalkan di UPM pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - juga dalam suasana penuh bantahan.

Selain menerima bantahan bertubi-tubi daripada beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut, 2005 dan 2006.

Bercakap dalam sidang media di UM pagi ini, pengerusi gabungan itu Mohd Aizat Mohd Saleh berkata, mereka mencurigai kerahsiaan dan keselamatan sistem tersebut dengan alasan ia mudah terdedah kepada sabotaj dan manipulasi.

"BANTAH tidak mahu pemimpim mahasiswa yang dipilih dilantik daripada sistem yang bobrok atau lebih mudahnya pemimpin sistem, tetapi mestilah (mereka yang terpilih itu) pemimpin mahasiswa yang mencabuli prinsip demokrasi yang adil dan telus," katanya, yang juga seorang exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPMUM).

Ditanya sama ada cadangan memboikot itu menggambarkan pendirian kebanyakan mahasiswa, Mohd Aizat berkata:

"Yang menggerakkan (kempen ini) memang kita. Tetapi yang akan boikot bukan kita sahaja. Kepada mahasiswa yang sedar, kita akan ajak sekali.

"Maknanya, boikot dengan tidak menghantar calon, itu satu (langkah). Kedua, (boikot) tidak turun mengundi."

Sebanyak 18 badan dan persatuan mahasiswa bergabung dalam BANTAH, antaranya MPMUM, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Media Indipenden (KAMI).

Mohd Aizat berkata, berdasarkan ujian sistem itu yang dibuka untuk dicuba mahasiswa pada 16 September lalu di UM, undian pelajar dikhuatiri boleh diketahui pengendali sistem itu.

Tambahnya, bagi mendapatkan nombor pengenalan diri (PIN) bagi memasuki sistem e-undi, pelajar dikehendaki menyatakan maklumat peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor matrik dan maklumat tempat penginapan.

Usaha berterusan menolak sistem tersebut akan dimulakan segera bermula dengan kempen menjelajah universiti-universiti di seluruh negara, kata Mohd Aizat lagi.

BANTAH juga mendesak kaedah pengundian di seluruh kampus dikembalikan secara manual yang didakwanya lebih telus dan sukar dimanipulasikan.

"Kalau pengundian secara manual, kita boleh iring peti undi sampai ke tempat penjumlahan. Kita boleh pastikan tidak ada satu pun kertas undi yang tercicir," katanya.

Walaupun turut dipertikaikan oleh kumpulan pro-Mahasiswa di situ, UUM memulakan pilihan raya kampus dengan penamaan calonnya semalam dan pengundian ditetapkan Isnin ini.

ADS