Biarpun tidak mencapai sasaran untuk mencatatkan namanya dalam Malaysia Book of Records berjalan secara berundur dari Sandakan ke Kota Kinabalu selama 15 hari, atlet istimewa Edward Taning tetap berazam untuk menamatkan misi itu.
Hari ini merupakan hari ke-15 beliau berjalan secara berundur bagi jarak sejauh 300km dan telah sampai di Berungis, Tuaran, yang terletak kira-kira 30km dari Kota Kinabalu.
Pembantu beliau, Misson Madamin, berkata usaha untuk menyempurnakan misi itu tidak dicapai dalam masa 15 hari disebabkan cuaca panas dan keadaan lalu lintas yang sesak di Jalan Tuaran menuju ke Kota Kinabalu.
"Apa yang penting kini, Edward berada dalam keadaan baik untuk menyempurnakan misi ini dan faktor mengenai berapa hari dia dapat melakukannya tidak terlalu diambil kira," katanya kepada Bernama hari ini.
Taning, yang lumpuh separuh badan, melakukan projek amal itu bertujuan mengutip dana sebanyak RM500,000 bagi mengisi Tabung Pusat Seri Mengasih di Kota Kinabalu.
Beliau telah berhenti di 12 daripada 15 tempat di setiap daerah yang dilaluinya antaranya di Sandakan, Telupid, Ranau, Kundasang dan Tamparuli.
Taning dijangka mengambil masa dua hari lagi untuk sampai ke Kota Kinabalu dan dijangka sampai ke garisan penamat di pusat peranginan Shangri La Tanjung Aru pada 5 petang Khamis ini. BERNAMA
