Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membantu MCA menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu "di belakang tabir" agar tidak menyentuh sensiviti mana-mana pihak.
"Saya kena akui bahawa semasa menjadi pengerusi BN, saya campur tangan tetapi di belakang tabir, bukan secara terbuka. Kalau tidak, orang sensitif sikit.
"Sebagai pengerusi BN kita sepatutnya boleh campur tangan dalam komponen parti," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir, yang ditemui pada majlis pelancaran buku Amanat Ucapan Presiden Umno , diminta mengulas sama ada BN patut campur tangan dalam isu MCA yang kini menghadapi krisis kepimpinan.
Ditanya sama ada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat wajar mengundur diri ekoran usul tidak percaya terhadapnya yang diluluskan oleh perwakilan pada mesyuarat agung luar biasa parti itu Sabtu lalu, Dr Mahathir berkata ia langkah
wajar.
"Saya sebut Datuk Onn Jaafar (yang berundur diri sebagai presiden apabila pandangannya tidak lagi diterima oleh Umno), kalau kita nak ambil iktibar daripada itu, bolehlah.
"Tapi bukan Datuk Ong Tee Keat saja, yang seorang lagipun tak dapat ni (sokongan)," katanya.
Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Dr Mahathir menyifatkan tindakan Onn berundur diri apabila cadangannya - agar Umno membuka pintu keahliannya kepada bangsa lain - ditolak oleh Umno ketika itu, adalah tindakan seorang lelaki budiman dan merupakan antara sumbangan terbesar allahyarham kepada Umno.
"Beliau sepatutnya jadi perdana menteri yang pertama, tapi cadangan beliau tak dapat diterima oleh Umno, maka beliau dengan rela hati tarik diri.
"Ini sumbangan terbesar Datuk Onn.
"Apabila kita dah tak popular atau pendapat kita tidak lagi diterima, kita jangan timbulkan masalah, tapi undur diri dengan cara terhormat," katanya.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri waris-waris bekas presiden Umno terdahulu.
Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menyuarakan kebimbangan bahawa krisis kepimpinan MCA akan memberikan kesan secara langsung kepada BN.
"Saya fikir apa yang berlaku dalam MCA tidak akan memberikan kesan langsung kepada Umno, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah apa yang berlaku dalam MCA akan memberikan kesan kepada BN dan perkara itu perlu diberi perhatian oleh pemimpin MCA," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada Selasa meluluskan dua usul iaitu undi tidak percaya terhadap kepimpinan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat dan membatalkan penggantungan keanggotaan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tetapi menolak usul ketiga untuk mengembalikan jawatan Dr Chua sebagai timbalan presiden.
Hishammuddin berkata apa yang berlaku kepada MCA bergantung kepada kebijaksanaan jawatankuasa pusatnya yang akan bermesyuarat Khamis ini untuk membincangkan keputusan EGM.
Mengenai sama ada krisis kepimpinan MCA akan dibincangkan pada perhimpunan agung Umno yang akan bermula esok hingga Jumaat, katanya mereka tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalaman parti komponen BN yang lain. BERNAMA
