Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib: Melayu akan terus dibantu
Diterbitkan:  Oct 15, 2009 12:12 PM
Dikemaskini: 11:46 AM

Bantuan kepada orang Melayu tetap diteruskan kerana secara keseluruhan mereka dilihat masih lagi ketinggalan dan memerlukan bantuan, kata presiden Umno hari ini.

Datuk Seri Najib Razak, yang juga perdana menteri, berkata sekalipun ada yang mendabik dada bahawa mereka tidak lagi memerlukan sokongan, hakikatnya masih ramai yang memerlukan pertolongan kerajaan.

"Hari ini kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga.

"Katanya mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.

"Tampaknya golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar," katanya di hadapan lebih 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti di Kuala Lumpur.

"Maksud saya jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan?

"Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung kepadanya."

Melalui ucapan sulung sebagai presiden Umno yang bertemakan 'Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan', Najib berkata tidak ada siapa dapat menafikan orang Melayu menikmati faedah yang besar hasil pelaksanaan DEB dan kini mempunyai kelas

menengah yang besar.

"Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah-langkah DEB," katanya.

Namun, kata Najib, isu sebenar bukanlah soal bantuan tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut yang berfokus kepada yang masih memerlukan.

"Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama," katanya.

Petikan teks ucapan 'Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan'

Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila.

Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sahlah dia gila.

Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.

Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau "outcome".

Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa. Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk sepuluh tahun dari sekarang.

Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dahulu adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak atau sudah jarang digunakan.

Contohnya, apabila mula digubal, Dasar Ekonomi Baru menyasarkan peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera dari 2.4 peratus kepada 30 peratus, dalam tempoh masa dua puluh tahun.

Namun begitu, sehingga Dasar Ekonomi Baru tamat pun, matlamat ini masih belum dapat diterjemahkan.

Pemilikan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera hanya mencapai 19.2 peratus sahaja. Oleh itu, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini Misi Nasional menggunakan pendekatan yang tidak jauh berbeza.

Namun, masa berlalu menyaksikan ekonomi Malaysia berubah haluan dan bergantung kepada pelaburan asing serta hasil eksport, manakala ekonomi negara kita kini lebih terbuka dan mudah terkesan dengan perkembangan ekonomi global.

Mengikut laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia tahun 2008, Malaysia adalah negara pengeksport barangan yang ke-21 terbesar di dunia.

Hakikatnya, cabaran ekonomi masa depan yang menanti kita lebih rumit dan hebat. Lanskap ekonomi dunia juga sudah berubah. Formula semalam belum tentu lagi masih mujarab.

Jika dalam tempoh hampir empat dekad kita gagal mencapai matlamat dengan menggunakan kaedah yang sama, bukankah sudah sampai masanya kita memikirkan strategi baru yang lebih relevan dengan masa dan zaman untuk mencapai cita-cita yang diimpikan?

Berikutan hal ini, orang–orang Melayu perlu sedar bahawa salah satu sebab yang memungkinkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana ia dilaksanakan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Perangkaan menunjukkan bahawa, pukul rata pertumbuhan ekonomi negara di antara tahun 1971-1990 adalah pada kadar 7.1 peratus.

Justeru, menyedari peri mustahaknya pertumbuhan ekonomi, apabila Malaysia menghadapi kemelesetan pertengahan 80-an akibat kejatuhan harga komoditi dunia, kepimpinan Umno dan negara ketika itu mengambil tindakan di luar kotak kelaziman.

Telah ditangguhkan ketika itu, elemen-elemen utama Dasar Ekonomi Baru bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan.

Ini dibuat melalui pewujudan persekitaran yang subur untuk pelaburan terus asing, terutamanya, dalam bidang pembuatan.

Strategi ini ternyata telah berjaya. Kutipan cukai kerajaan bertambah, peluang pekerjaan melata, dan ekonomi negara berjaya pulih dari kemelesetan.

Hasilnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah dapat diteruskan.

Bersandarkan faktor inilah, maka, kerajaan hari ini telah mula meliberalisasikan sektor-sektor tertentu di samping melihat semula dengan komprehensif cara penciptaan dan pegangan kekayaan Melayu dan Bumiputera agar ia lebih mapan serta lebih bermakna.

Di sudut lain, bukan sahaja Umno yang harus berubah dan melakukan proses transformasi ke arah kebaikan generasi pewaris negara, yang terlebih penting adalah orang-orang Melayu seluruhnya perlu berubah corak pemikirannya.

Hari ini, kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga.

Katanya, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.

Tampaknya, golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar. Maksud saya, jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan.

Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung padanya?

Di atas segalanya, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa, nikmat tersurat hari ini adalah, orang Melayu telah mempunyai kelas menengah yang besar. Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971.

Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa, hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah-langkah Dasar Ekonomi Baru.

Oleh sebab itu, kita perlu faham bahawa, isunya di sini bukanlah soal bantuan, tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut.

Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan.

Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama.

ADS