Ratusan wanita Indonesia sanggup bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah kerana mereka mendengar banyak perkara baik mengenainya daripada rakan dan saudara yang bekerja di sini, kata anggota kanan sebuah kesatuan sekerja Indonesia.
Bendahari Agung Persekutuan Kesatuan Sekerja Indonesia (CITU) Aisah Teisir Abdat berkata bagaimanapun amat sukar bagi mereka untuk datang ke sini secara sah disebabkan oleh "masalah birokrasi" di Indonesia.
"Wanita-wanita ini perlu melalui tujuh agensi atau pihak berkuasa, bermula dari ketua kampung sehingga ke peringkat daerah dan pegawai bahagian serta ejen, sehingga ke peringkat pusat, sebelum mereka mendapat kelulusan," katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif di luar Persidengan Serantau Persekutuan Kesatuan Sekerja Antarabangsa (Asia Pasifik) mengenai pekerja domestik di Petaling Jaya hari ini.
Beliau berkata oleh kerana amat sukar dan mahal untuk mendapat kelulusan secara rasmi, ramai wanita cuba merebut peluang untuk memasuki Malaysia secara tidak sah untuk bekerja sebagai pembantu rumah.
"Disebabkan status mereka sebagai pekerja tanpa izin, mereka terdedah kepada penganiayaan yang dilakukan oleh majikan-majikan yang tidak bertanggungjawab," tambahnya.
Beliau berkata masalah pembantu rumah yang dianiaya merupakan "fenomena biasa" di semua negara di seluruh dunia disebabkan bentuk pekerjaan itu sendiri.
"Jadi adalah salah untuk mengatakan bahawa penganiayaan terhadap pembantu rumah hanya berlaku di Malaysia," tambahnya.
Seramai 35 peserta dari Bangladesh, Hong Kong, Bahrain, India, Indonesia, Jordan, Nepal, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Singapura dan Malaysia menghadiri persidangan dua hari itu yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk R Segarajah.
Sementara itu peserta dari Malaysia Dr Irene Fernandez berkata pembantu rumah itu mudah terdedah kepada penganiayaan kerana mereka bekerja di rumah-rumah, yang dianggap sebagai 'entiti peribadi' dan orang luar tidak dibenarkan masuk.
"Ini menjadikan amat sukar untuk 'sampai' kepada mereka sekiranya mereka memerlukan bantuan," katanya dan menambah itu sebabnya adalah penting untuk memberikan pembantu asing ini cuti selama sehari dalam seminggu.
"Mereka (pembantu rumah warga asing) boleh menggunakan hari cuti ini untuk mendapatkan bantuan sama ada dari Jabatan Tenaga kerja atau mana-mana NGO," tambahnya. BERNAMA
