Umno Johor hari ini menyarankan agar indeks kualiti hidup digunapakai semula bagi mengukur tahap mutu hidup masyarakat di negara ini.
Indeks kualiti hidup itu telah diiktiraf oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1999 dan digunapakai lebih 43 negara termasuk Eropah.
Bagaimanapun Malaysia telah mengenepikan penggunaan indeks itu pada 2004, kata wakil Umno negeri Datuk Samsol Bari Ismail.
Beliau berkata melalui pelaksanaan dan penggunaan indeks berkenaan, ia dapat memastikan keadilan kepada semua golongan dan berupaya mengelakkan peminggiran, penindasan serta kezaliman kepada mana-mana kelompok rakyat di negara ini.
"Gagasan 1Malaysia adalah berasaskan kepada prinsip dan falsafah keadilan sosial. Oleh itu, Umno Johor menganjurkan supaya penumpuan diberikan kepada membawa kesejahteraan kepada majoriti yang lemah bukan hanya kepada golongan minoriti yang kuat.
"Penumpuan diberikan kepada bantuan dan sokongan kepada golongan miskin yang ramai daripada melonggokkan kemewahan kepada sebilangan kecil yang meraih kekayaan," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada perhimpunan agung Umno 2009 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata indeks kualiti hidup ini sesuai digunakan kerana diukur berdasarkan aspek pendapatan dan pengagihan, hayat produktif, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan, pendidikan, perumahan, alam sekitar, kehidupan berkeluarga, penyertaan kegiatan sosial, keselamatan awam serta budaya dan riadah.
Katanya, faktor itu juga boleh dinilai dari dua dimensi utama iaitu sejauh mana kelas-kelas sosial yang berbeza mendapat manfaat daripada faktor tersebut dan sejauh mana kelompok-kelompok kaum terbela berdasarkan faktor-faktor itu. BERNAMA
