Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dewan Harian Pemuda PAS akan bermesyuarat untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk dimajukan kepada pucuk bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti tersebut.

"Buat masa ini, saya sebagai ketua pemuda PAS, masih meneliti apa sebenarnya yang berlaku. Ia dilihat dalam keadaan ini, agak serius.

"Saya akan memanggil Dewan Harian Pemuda untuk bermesyuarat bagi menentukan apakah langkah yang Pemuda akan ambil. Ia nampak agak dalaman," kata ketuanya, Nasrudin Hassan kepada Malaysiakini tengahari ini.

Nasrudin berkata beliau akan memanggil anggota dewan tersebut dengan kadar segera.

Nasrudin diminta mengulas desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa kepimpinan parti itu, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan mereka.

Ditanya sama ada masalah dalaman PAS ini akan berlarutan atau hanya besifat sementara, Nasrudin berkata:

"PAS pernah mengalami kemelut dan pergolakan dalaman. Setiap kali berlaku, Insya-Allah sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan berpengalaman, ada jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ni.

"Saya percaya, apa yang berlaku ini bersifat sementara sahaja," katanya

Sebelum ini pergeseran kedua-dua tokoh PAS dan kumpulan pro-kerajaan perpaduan dilihat 'tegang' apabila mereka dilaporkan bertemu di Kota Bharu untuk menyelesaikan isu kerajaan perpaduan, walaupun beberapa kali penafian dibuat.

Malah selepas pertemuan itu berlangsung, kedua-dua tokoh bersetuju untuk menukarkan istilah 'muzakarah' kepada 'muqabalah'.

Isu kerajaan perpaduan ini juga turut menjadi pedebatan panas di kalangan perwakilan PAS dalam beberapa muktamar tahunan terutama di Perak, Ogos tahun lalu dan di Selangor Jun lalu.

Bahkan selepas daripada muktamar itu, Nik Aziz cuba mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin kumpulan Erdogan yang mirip menentang kumpulan 'pro-kerajaan perpaduan.

Minta kerap bertemu

Bagaimanapun, Nasrudin menggesakan agar pucuk pimpinan PAS "kerap bertemu dan berjumpa dalam mesyuarat" serta "mengadakan perbincangan khas" untuk menyelesaikan masalah ini supaya tidak berlarutan.

"Ia perlu dipandang serius oleh saf kepimpinan PAS agar tidak merosakkan perjuangan parti, dan mengelirukan akar umbi," katanya.

Beliau juga menggesa ahli PAS agar "bertenang tanpa mencetuskan sebarang spekulasi yang mengusutkan keadaan".

Ditanya sama ada beliau bersetuju agar muktamar khas (EGM) diadakan untuk menyelesaikan kemelut ini yang berpanjangan selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu, Nasrudin berkata:

"Keperluan untuk mengadakan EGM akan diputuskan oleh pucuk pimpinan. Tak boleh putuskan secara spontan.

"Sama ada Majlis Syura atau AJK PAS Pusat bersetuju atau tidak, ia harus mendapat satu pertiga sokongan daripada ahli PAS, baru ada muktamar khas. Tak boleh putuskan secara spontan," katanya.

ADS