Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin membuat "rayuan peribadi" kepada Sultan Perak supaya membatalkan sidang bajet Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kerana beliau bimbang berlaku kekecohan jika ia diteruskan.

Nizar mendakwa beliau mendengar dari sumber-sumber tidak sah tetapi boleh dipercayai bahawa Umno akan mengupah 15 orang "samseng" untuk menggantikan pengawal keselamatan di DUN bagi menghalang "berlaku sebarang kekecohan dari pihak kami".

Dakwanya lagi, apa yang membimbangkan beliau ialah 15 orang samseng ini telah diarahkan supaya mensasar dan memukul lima ADUN bukan Islam dari Pakatan.

Menurut Nizar lagi, satu sumber memberitahu beliau bahawa lima ADUN Pakatan itu ialah Chang Lih Kang (Teja), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), S Kesavan (Hutang Melintang), A Sivasubramaniam (Buntong) and Thomas Su (Pasir Pinji).

Nizar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau mendengar dari sumber-sumber di Sekretariat Kerajaan Negeri bahawa 28 ADUN Pakatan akan dihalang daripada membawa telefon bimbit dan kamera untuk merakam sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin berlaku dalam sidang dewan Rabu ini.

Dakwaan yang sama juga dibuat oleh setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming dalam sidang akhbarnya semalam.

"Kami juga mendengar bahawa kami perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat, termasuk penggunaan pengesan logam," kata Nizar.

"Kami bukan penjenayah yang perlu melalui layanan yang memalukan itu oleh regim BN, yang telah menghina pengundi yang telah memilih kami sebagai wakil rakyat mereka," tambahnya.

Nizar berkata, ADUN Pakatan Rakyat tidak akan mencetuskan sebarang gangguan dan kekecohan di sidang dewan itu nanti.

"Kekecohan tidak akan berpunca daripada kami yang melakukan tugas kami mengikut Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Perak dan Perlembagaan Perak," tambahnya.

Baca berita penuh

ADS