ADUN keempat keluar PKR

Seorang lagi wakil rakyat PKR meninggalkan parti itu dan menjadi ADUN bebas - kali ini di Selangor selepas dua di Perak awal tahun ini dan seorang di Kedah pada Ogos.

ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah, sejak beberapa bulan lalu menimbulkan spekulasi bakal menyertai Umno, membuat pengumuman itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur sebentar tadi.

NONEBeliau sejak sekian lama menimbulkan masalah dalam parti itu apabila didakwa tidak menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat di situ.

Pagi ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengusulkan kepada PKR agar mendesak Badrul Hisham melepaskan jawatan wakil rakyat.

Menurut kenyataan pejabat menteri besar hari ini, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

Badrul menang kerusi DUN Pelabuhan Klang dalam pilihan raya umum dengan majoriti 4,407 undi, ekoran rasa tidak puashati terhadap bekas ADUN kontroversi Umno, Datuk Zakaria Md Deros.

Badrul merupakan ADUN pembangkang kelima yang keluar parti, selepas tiga ADUN di Perak (dua PKR, satu DAP) dan seorang lagi ADUN PKR di kedah dan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong BN.

Sidang akhbar Badrul

Tindakan Badrul Hisham ini mencemarkan lagi imej PKR yang kini sedang bergelut dengan beberapa konflik dalaman yang negatif berhubung kepemimpinan di Sabah dan juga spekulasi peletakan jawatan Setiausaha Agungnya Datuk Salehuddin Hashim.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibunegara hari ini, Badrul Hisham berkata keputusan beliau keluar PKR berkuatkuasa serta merta dan kini menjadi wakil rakyat bebas yang 'mesra' BN.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan meletak jawatan, kerana menurutnya, PKR tidak boleh memaksanya berbuat demikian.

Sebaliknya, Badrul Hisham berkata beliau adalah wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

Badrul juga menafikan beliau terbabit dalam kemalangan dan sedang menjalani rawatan psikitrik sehingga tidak mampu menjaga kawasan pilihan rayanya.

Badrul menuding jari kepada Menteri Besar selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang didakwanya turut mencabar kapasiti mentalnya.

Beliau yang membaca kenyataan yang telah disediakan berkata tindakan Khalid itu, sebagai seorang ketua PKR, adalah tidak bermoral.

Badrul juga menafikan bahawa beliau tidak menjawab surat tunjuk sebab dari Khalid.

Sebaliknya, beliau mendakwa telah menjawab surat tunjuk sebab itu pada 2 September.

Badrul berkata, beliau ada pengesahan penerimaan surat jawapan itu dari pejabat Khalid serta setiausaha agung PKR.

Oleh itu, katanya, menteri besar Selangor itu tidak ada hak untuk membuat tuduhan seumpama itu.

Dalam sidang akhbar itu, Badrul ditemani oleh isterinya yang berkaca mata hitam dan bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli yang rapat dengan bekas ketua Pemuda PKR yang kini menyerta Umno, Mohd Ezam Noor.

Badrul mengadakan sidang akhr itu beberapa jam selepas Khalid mencadangkan kepada PKR supaya meminta Badrul melepaskan jawatan ADUN kerana didakwa prestasinya tidak baik.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.