Mahkamah Koroner di Shah Alam hari ini menetapkan Rabu depan bagi mendengar permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh pakar patoloji Thailand, Dr Porntip Rojanasunan.
Ketika dihubungi Bernama , peguam keluarga mendiang, Gobind Singh Deo, mengesahkan tarikh pendengaran permohonan tersebut.
Pada Selasa lepas, abang mendiang, Teoh Meng Kee memfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam supaya mayat adiknya dikeluarkan semula daripada tanah perkuburan untuk tujuan bedah siasat kedua dan mendapatkan pandangan kedua daripada Dr Porntip.
Sebelum ini, Dr Porntip memberitahu inkues bahawa ada 80 peratus kemungkinan setiausaha politik kepada anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah itu mati dibunuh dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa masih hidup.
Pada 16 Julai lalu, Beng Hock ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam selepas memberi kenyataan mengenai dakwaan salah guna peruntukan kerajaan negeri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bangunan yang sama.
Mayatnya telah dikebumikan empat hari kemudian di Nirwana Memorial Park, Semenyih, Selangor. BERNAMA
