Pendaftar Pertubuhan (ROS) bersedia ke mahkamah sekiranya Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mencabar keputusannya mengembalikan semula kedudukan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai timbalan presiden MCA, kata menteri dalam negeri.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata keputusan ROS adalah berdasarkan tiga perkara utama iaitu undang-undang negara, Akta Pertubuhan 1996 dan perlembagaan MCA, dan dengan itu ROS sedia untuk memperjelaskannya di mahkamah.
"Keputusan diambil setelah ROS mengambil kira semua perkara dan melakukan kajian yang teliti.
"Saya cukup yakin sekiranya perkara ini hendak dibawa ke mahkamah, kita di kementerian dan ROS akan memperjelaskan dan mempertahankan apa yang telah diputuskan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Semalam ROS mengesahkan bahawa Dr Chua, yang dipecat dari jawatan timbalan presiden MCA pada Ogos lalu, masih memegang jawatan berkenaan.
Menurut ROS, kekosongan jawatan tersebut tidak berlaku memandangkan keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA pada 10 Okt lepas tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya Chua dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA.
Liow yang dilantik sebagai timbalan presiden oleh jawatankuasa pusat parti pada 15 Okt ketika jawatan itu dianggap kosong, melahirkan rasa tidak puas hati dan mendakwa keputusan ROS itu melanggar perlembagaan MCA dan mengancam untuk membawanya ke mahkamah. BERNAMA