Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asri-PGSM siapa mungkir janji?
Diterbitkan:  Nov 6, 2009 11:57 PM
Dikemaskini: 4:30 PM

Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) nampaknya terperangkap dalam satu lagi pergeseran berhubung isu membantah beliau dilantik sebagai pemimpin sebuah yayasan berpengaruh.

Bezanya, pergeseran terbaru ini tercetus selepas lebih 24 jam "perjanjian" damai dicapai dalam satu pertemuan tiga pihak, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Bekas mufti Perlis itu menuntut janji PGSM memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya dalam memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pertengahan bulan lalu bagi menghalang pelantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), badan yang dinaungi kerajaan.

"Perjanjian" damai untuk berbuat demikian, termasuk Dr Mohd Asri tidak mengambil tindakan saman terhadap PGSM, dicapai dalam satu pertemuan di sebuah hotel besar di Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun sehingga tengah malam ini harapan Dr Mohd Asri untuk melihat PGSM menyiarkan permohonan maaf itu tidak menjadi kenyataan.

Semakan Malaysiakini menunjukkan tiada kenyataan diterbitkan di laman web badan peguam itu walaupun tokoh agama itu memberikan tarikh akhir hingga pukul 7 malam ini untuk ia berbuat demikian.

NONE Menulis di blog peribadinya, Dr Mohd Asri berkata beliau menunggu PGSM "menunaikan janji" menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya melalui permohonan maaf secara terbuka "seperti yang telah dipersetujui kedua-dua pihak".

Turut dimuatkan di blog tersebut, salinan sekeping kertas (foto kanan) yang menyebut secara ringkas perjanjian tersebut dengan tandatangan ketiga-tiga pihak, termasuk menteri hal-ehwal Islam itu, semalam.

Kegagalan itu mendorong bekas mufti itu merancang untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap PGSM dan pihak yang terbabit dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu.

"Saya kini sedang menunggu nasihat guaman berhubung perkara ini.

"Barisan peguam sedang berbincang dan meneliti beberapa perkara, kita akan berusaha untuk memulakan proses ini secepat mungkin," beliau dipetik berkata kepada mStar Online hari ini.

Dr Mohd Asri juga dilaporkan kecewa dengan alasan Presiden PGSM Mohamad Isa Abdul Ralip "memungkiri janji" untuk mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Bagaimanapun Mohamad Isa pula dilaporkan mendakwa Dr Mohd Asri telah memungkiri perjanjian mereka dengan mendedahkan kandungan pertemuan tertutup tersebut kepada media - dakwaan yang dinafikan oleh tokoh agama itu.

"Tidak timbul soal mungkir janji kerana tidak ada (perjanjian), sebaliknya mereka yang diminta memaklumkan kepada media.

"Selain itu, yang mula bercakap kepada media ialah menteri," katanya seperti dilaporkan.

Dalam sidang media lewat petang semalam, Jamil mengumumkan hasil pertemuan itu dan menganggap isu antara dua pihak berkenaan sudah selesai.

Dr Mohd Asri pula menyatakan perdamaian mereka dalam sidang media selepas menghadiri satu forum di Pulau Pinang malam tadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS