Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Exco hal-ehwal Islam Selangor mempertahankan prosedur pentauliahan kepada penceramah agama di negeri itu kerana ia dapat memastikan latar belakangnya dan mengelak ajaran sesat.

Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau tidak melihat keperluan meminda Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor berhubung pentauliahan yang kini menjadi kontroversi susulan penangkapan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, awal bulan ini.

Beliau ditanya mengenai perkara ini berikutan usul tergempar yang dibawa oleh ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib ketika persidangan DUN pagi ini.

Wakil PAS itu mencadangkan usul berkenaan untuk membincangkan isu penahanan bekas mufti Perlis itu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1 November lalu.

Bercakap kepada media selepas sidang DUN hari ini, Dr Hasan menjelaskan prosedur pentauliahan itu diamalkan bukanlah untuk menyekat mana-mana pihak daripada mengajar agama di negeri itu.

"Orang yang berikan khutbah dan apa juga pengajaran agama di negeri Selangor itu tidak kira latar belakang apa pun, eloklah diketahui siapa dia, latar belakang dia, apa yang nak diajar, rekod-rekod yang lepas, bukan itu bagus? Bukan kita nak menyekat," katanya.

Tambahnya, beliau tidak fikir Jais berniat menggunakan isu pentauliahan semata-mata untuk menyekat Dr Mohd Asri daripada memberikan ceramah di negeri itu.

"Saya tak fikir ada mana-mana pentadbir Jais yang ingin menyekat (Dr Mohd Asri) tapi hanya untuk kerajaan berhati-hati sebab ada yang lepas-lepas terutama yang di luar yang dikatakan ajaran-ajaran itu meragukan dan sebagainya, itu yang kita takut," katanya.

"Dalam musim ajaran-ajaran sesat yang berlaku ini, kita pun takut mereka menyeludup melalui cara-cara seperti memberikan ceramah secara terbuka dan sebagainya."

Dr Hasan turut mempertahankan tindakan Jais menggunakan khidmat anggota polis ketika menahan Dr Mohd Asri di sebuah banglo di Hulu Kelang menjelang tengah malam hujung minggu itu.

"Saya rasa peruntukan (enakmen Islam) sangat adil, tapi mungkin ada pihak yang masih tidak puas hati dan kata 'saya berpengalaman, tidak perlu tauliah' dan sebagainya," katanya.

Beliau menjelaskan, isu kehadiran polis yang ramai semasa penahanan Dr Mohd Asri itu, seperti yang dibangkitkan Saari serta ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali itu juga tidak timbul.

"Soal bilangan itu rasa saya tidak menjadi masalah, soalnya sama ada dijalankan tugas itu mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

"Laporan kepada saya, selepas (Dr Mohd Asri) memberikan ceramah, saya diberitahu agak lama juga mereka nak memujuk supaya (Dr Mohd Asri) keluar dari bilik tersebut hingga mereka terpaksa memanggil polis untuk sama-sama memujuk dan mengeluarkan dia dari bilik itu," katanya.

Belia turut mengesahkan menerima laporan berhubung rancangan Jais untuk menyeret Dr Mohd Asri ke mahkamah - dijangkakan minggu ini.

"Yang saya tahu, siasatan sudah siap dan yang dilaporkan kepada saya mungkin pendakwaan akan dijalankan ke atas Dr Mohd Asri," kata Dr Hasan.

ADS