Most Read
Most Commented
Read more like this

Semua umat Islam, termasuk Umno, wajib menyokong pelaksanaan hukum Hudud kerana ia adalah merupakan hukum yang diturunkan oleh Allah swt, kata Ketua Biro Agama Pemuda Umno, Ustaz Shamsul Najmi Shamsudin hari ini.

Bagaimanapun, katanya, hukum Allah itu mestilah dilaksanakan secara sistematik, adil dan berhati-hati.

Katanya, hukum itu perlu digubal dan disusun dengan penuh hati-hati supaya tidak timbul fitnah yang hukum Allah itu tidak adil, sepertimana yang telah berlaku di Pakistan, Sudan dan Mesir.

"Mesir pernah mengisytiharkan pelaksanaan hukum Hudud, tetapi dalam tempoh tiga bulan sahaja, ia terpaksa ditangguhkan kerana perkara-perkara yang termaktub didalamnya, tidak digubal dengan teliti bagi mencerminkan hukum Allah yang sebenarnya

"Kalau hukum Allah yang adil, penuh hikmah dan kebijaksanaan itu, dilaksanakan oleh manusia secara tidak sistematik dan zalim, maka ia akan menjadi undang-undang yang zalim," kata Ustaz Shamsul.

Antara contohnya, kata beliau, ialah mengenai definasi yang betul bagi maksud 'mukallaf' di muka surat dua rang undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas).

"Mukallaf ialah orang yang akil baliq yang sudah cukup umur mengikut hukum Islam. Tetapi apa yang ditulis oleh PAS ialah orang yang berumur 18 tahun dan sempurna akalnya. Ini jelas bercanggah dengan hukum Islam," tegasnya.

Perlu latihan sempurna

Kerana itulah, katanya, perlu disediakan terlebih dahulu prasana yang lengkap untuk melaksanakan hukum Hudud dengan baik, termasuk menyediakan latihan yang sempurna untuk para hakim, manakala rang undang-undang itu pula digubal dengan sempurna.

"Sebab itulah, kerajaan pimpinan Umno, dari dulu lagi, telah mewujudkan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), mahkamah Syariah di samping menyediakan latihan untuk peguam syarie.

"Tetapi kita belum sampai ke tahap mampu hendak melaksanakan hukum Allah yang adil. Kalau kita melaksanakannya sehingga menzalimi orang, nanti masyarakat dunia akan mengatakan bahawa hukum Allah itu tidak adil," katanya.

Mengenai kenyataan bersama 13 badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang menegaskan bahawa hukum Hudud perlu dilaksanakan di negara ini, sesuai dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, tahun lalu, bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, Ustaz Shamsul berkata:

"Saya berpendapat pandangan mereka itu ada sikit kesilapannya jika mereka merasakan hukum Hudud itu wajar dilaksanakan selepas pengumuman Perdana Menteri itu. Ini kerana kewajaran melaksanakan Hudud tidak mengira zaman, tempat dan masa, sama ada Dr Mahathir mengumumkannya atau tidak.

"Jadi, pendirian Biro Agama Pemuda Umno adalah jelas dalam bab akidah...kita memang menyokong penuh pelaksanaan hukum Allah di muka bumi ini," kata Ustaz Shamsul yang turut menerima salinan rang undang-undang itu daripada Kerajaan Negeri Terengganu.

Malah, katanya, semua pihak, termasuk PAS, Umno dan NGO mahukan pelaksanaan hukum Hudud, tetapi hendaklah mengikut caranya dan membuat persediaan sepatutnya.

"Jangan kita melaksanakannya secara gopoh-gapah. Kerajaan Umno pun membuat persiapan dan latihan, termasuk menghantar mereka belajar di luar negara seperti di Jordan dan al-Azhar supaya bila mereka balik nanti, dapat membantu membuat persiapan sewajarnya.

"Jawatankuasa penggubal rang undang-undang Hudud itu hendaklah lebih teliti. Kaum wanita yang saya temui, termasuk Wanita Umno Malaysia, tidak menentang hukum Hudud, tetapi mereka menentang cara pelaksanaannya yang menurut mereka salah," tambahnya.

ADS