kemaskini 3.38pm Kerajaan Selangor belum menetapkan kawasan khusus untuk penjualan minuman keras di kawasan berpenduduk majoriti Islam seperti desakan pemimpin PAS negeri sejak akhir tahun lalu.
"Kerajaan negeri belum lagi menetapkan satu garis panduan khusus bagi menentukan kawasan yang sesuai untuk penjualan arak," kata exco kerajaan tempatan negeri ketika menjawab soalan lisan daripada Yap Ee Wah (BN- Sungai Pelek) di persidangan DUN hari ini.
Ronnie Liu menjelaskan, Selangor juga tidak berkuasa untuk menyekat penjualan bir di kedai-kedai serbaneka 24 jam.
"Premis ini hanya menjual minuman keras yang mengandungi alkohol kurang 8.8 peratus yang dikategorikan sebagai bir.
Menjawab satu lagi soalan lisan Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras), Ronnie berkata: "Tiada akta atau peruntukan untuk minuman di bawah 8.8 peratus kandungan alkoholnya termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Minuman (kandungan alkohol) atas 8.8 peratus tertakluk bawah Akta Eksais dan Kastam."
Muhammad Bushro mempersoal bagaimana arak boleh dijual di kedai serbaneka 7-Eleven di Shah Alam sedangkan kawasan itu dihuni majoriti orang Islam.
Mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga telah memutuskan arak tidak dibenarkan dijual di kawasan bermajoriti orang Islam, kata ADUN Umno itu lagi.
Ronnie berkata, usaha untuk mengelakkan produk itu dibeli oleh orang Islam dikawal selia sendiri oleh pekedai berkenaan.
"Kerajaan negeri telah memperkenalkan mekanisme kawalan kendiri atau self-regulating kepada pemilik kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam," katanya.
Ronnie turut menjelaskan, mekanisme ini telah dilaksanakan secara percubaan melalui MBSA dan mendapat reaksi positif daripada pekedai runcit dan serbaneka 24 jam dalam kawasan PBT tersebut.
Tambahnya, kerajaan negeri menetapkan supaya produk beralkohol itu diasingkan daripada produk lain, apabila dipamerkan di dalam kedai-kedai berkenaan.
"Pemilik kedai runcit atau serbaneka juga diminta untuk tidak mempamerkan secara terbuka minuman beralkohol dan produk tersebut hanya akan dijual atas permintaan pelanggan sahaja," katanya.
"Mereka juga tidak dibenarkan menjual minuman beralkohol kepada pelanggan yang beragama Islam dan di bawah umur 18 tahun."
Pemimpin DAP itu menambah, pekedai juga diarahkan supaya meletakkan papan tanda khas bagi memberitahu larangan penjualan produk berkenaan kepada golongan berkenaan.
Risalah serta poster juga diedarkan kepada orang ramai untuk memberitahu mengenai konsep kawalan kendiri yang diamalkan oleh pekedai runcit, tambahnya.