MCA dilihat sedang menuju ke arah mengadakan pemilihan baru pucuk pimpinannya setahun lebih awal tahun depan jika Pelan Perpaduan Menyeluruh parti itu dilaksanakan sepenuhnya dan krisis dalamannya reda dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, kata pemerhati.
Beberapa penganalisis dan sumber parti berkata terdapat petunjuk bahawa pemilihan pucuk pimpinan tiga tahun sekali yang sepatutnya diadakan pada 2011 dipercepatkan ke tahun depan dengan memperkenalkan sistem pemilihan secara terus.
Pemilihan secara terus yang dicadangkan itu adalah untuk jawatan presiden dan timbalan presiden serta pengerusi serta timbalan pengerusi negeri-negeri manakala soal sama ada anggota Jawatankuasa Pusat (CC) juga akan dipilih, masih dibahaskan.
Apa yang pasti ialah satu pasukan petugas telah ditubuhkan bagi mengkaji perkara ini yang akan diperhalusi pada mesyuarat CC pada Rabu ini.
Sumber parti berkata sebaik saja cadangan itu mendapat lampu hijau CC, satu mesyuarat agung luar biasa akan diadakan menjelang pertengahan tahun depan untuk meluluskan pindaan perlembagaan yang sewajarnya.
Selepas cadangan itu diluluskan, terdapat kemungkinan besar pemilihan baru diadakan penghujung tahun depan semasa perhimpunan agung parti, kata seorang pemimpin parti yang enggan namanya disiarkan.
Satu lagi petunjuk mengenai pemilihan baru ini ialah kenyataan presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat bahawa beliau akan membenarkan pemilihan itu diadakan dengan syarat MCA kembali stabil dahulu.
Beliau dilaporkan berkata bahawa untuk mencapainya, parti itu hendaklah melaksanakan sepenuhnya Pelan Perpaduan Menyeluruh yang dilancarkan pada 22 Oktober lepas bagi menyatukan semula pihak-pihak yang bertelagah.
"Jika kita nak adakan pemilihan baru, kita perlukan suasana yang aman supaya anggota kita dapat mengundi dengan tenang," Ong dilaporkan berkata.
Timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga membayangkan kemungkinan pemilihan baru diadakan.
"Kita tak pernah kata kita tak boleh adakan pemilihan ini. Tapi kita nak stabilkan parti dahulu.
"Kita mungkin adakan pemilihan baru selepas enam bulan kerana tumpuan sekarang adalah terhadap usaha melaksanakan pelan perpaduan," katanya.
Semalam, pemimpin peringkat akar umbi dari 155 daripada 191 bahagian MCA menghadiri satu mesyuarat di sini dan menyatakan sokongan mereka terhadap pelan
perpaduan itu.
Sebaliknya, golongan yang memihak kepada naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai mahu mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November ini.
Walaupun Ong Dr Chua berjaya melepasi halangan pertama dengan mendapat sokongan bagi pelan perpaduan itu, mereka masih perlu melihat sama ada EGM pada 28 November ini mendapat sambutan atau tidak kerana jika ramai anggota yang menhadirinya, itu akan menjejaskan usaha ke arah memperkenalkan sistem pemilihan secara terus. - Bernama
