Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sepatutnya memberi peluang kepada tujuh sarjana Islam yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi untuk mendapatkan tauliah mengajar agama di negeri itu, kata Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

"Mereka sepatutnya diberi peluang terlebih dahulu. Jika selepas ini ada aduan daripada masyarakat, maka tauliah tersebut boleh ditarik balik," kata Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz kepada Malaysiakini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Jais tidak memberikan tauliah kepada tujuh ilmuwan tersebut sebagai "karenah birokrasi".

Pada 12 November lalu, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib mendedahkan di DUN Selangor nama tujuh pemohon tersebut, yang gagal mendapat tauliah, walaupun berkelulusan dalam bidang agama.

Mereka termasuk Dr Azwira Abd Aziz, ketua Jabatan al-Quran dan Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan anak bekas mufti Perlis, Fathul Bari Mat Jahya.

Jais bagaimanapun menafikan menolak permohonan mereka kerana disyaki beraliran Wahabi dan sebaliknya menyatakan ia kerana mereka tidak mengikut "prosedur mengisi borang" yang tepat.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, Jais sepatutnya mempermudahkan urusan memberi tauliah mengajar agama dan bukan menyulitkan keadaan.

Tambahnya, PKPIM bersetuju bahawa ajaran Wahabi mungkin tidak sesuai di tempat-tempat tertentu di mana umat Islam sudah selesa mengamalkan mazhab masing-masing.

"Bagaimanapun, (aliran) Wahabi bukan sesat. Cuma persoalannya sesuai atau tidak dengan sesuatu tempat," katanya yang menuntut dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Sementara itu, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo pula berpendapat Jais perlu menyediakan garis panduan jelas pentauliahan mengajar, termasuk mendedahkan anggota panel penilainya.

Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kini menjadi "agresif" dalam pemberian tauliah tersebut, kerana "mahu jadi lebih baik daripada (pentadbiran) Umno" dahulu.

"Dulu kita benarkan (berceramah). Selagi ikut al-Quran dan Sunnah tidak ada masalah. Tetapi sekarang (ahli parlimen Shah Alam) Khalid Samad pun dapat tauliah sementara.

"(Exco negeri) Datuk Hassan Ali pun dapat, apa kelayakan agama dia ada?

"Kita hendak tahu garis panduannya. Kita hendak tahu siapa panelnya, kaedah yang digunakan. Sekarang kita tertanya-tanya," katanya ketika dihubungi.

Dr Mohamed Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, mencadangkan muzakarah khas diadakan dengan kumpulan ilmuwan Islam untuk membincangkan sistem pentauliahan supaya ia benar-benar telus dan tidak dipengaruhi unsur politik.

ADS