Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

travelog Selepas melawat dan berdiskusi di Rahima dan Yayasan Jurnal Perempuan, kami bertolak ke Komunitas Salihara, tempat permukiman golongan seni, sasterawan dan budayawan Indonesia.

Sewaktu bertolak, jam menunjukkan pukul 4 petang.

Pertama kali menjejaki kaki ke situ, kami disambut oleh lelaki berkaca mata dan berambut panjang, yang memperkenal dirinya Mohamad Guntur Romli, graduan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

NONE Katanya, fungsi Komunitas Salihara (KS) adalah lanjutan daripada Komunitas Utan Kayu (KUK) iaitu tempat yang menyediakan untuk sasterawan, budayawan dan seniman berekspresi serta berdiskusi berhubung pelbagai isu khususnya dalam bidang seni dan sastera.

Sebelum ke Jakarta, saya pernah mendengar mengenai Komunitas Utan Kayu, melalui teman-teman di Malaysia, tetapi masih belum mengenali Komunitas Salihara.

Komunitas Utan Kayu adalah sebuah laman budaya di Jalan Utan Kayu, Jakarta Timur.

Ia diasaskan oleh sebahagian daripada pengarang kanan majalah Tempo, kira-kira setahun selepas majalah itu ditutup pemerintah, pada 1994.

Sejumlah sasterwan, intelektual, seniman dan wartawan turut mendokongi dan mengukuhkan komuniti tersebut.

Goenawan Mohamad adalah antara penggerak utama komunitas itu dan seterusnya membentuk Komunitas Salihara.

KUK kemudiannya membentuk Institut Studi Arus Informasi (ISAI), Galeri Lontar, Teater Utan Kayu dan jurnal kebudayaan Kalam .

Bagi menangani masalah ruang di KUK yang begitu terhad untuk menampung pelbagai lapisan pengunjung ke situ, maka Goenawan membuka Komunitas Salihara.

Memetik ucapan Goenawan sewaktu merasmikan bangunan dan Komunitas Salihara pada 8 Ogos tahun lalu, beliau yang lebih dikenali sebagai "Mas Goen" mahu menjadikan komuniti Salihara sebagai "tempat pertunjukan, seni filem, seni rupa, seni musik dan lain-lain untuk menghidupkan kreativitas".

"Kreativitas akan selamanya memerlukan dan membuahkan kemerdekaan jiwa. Itulah yang kita (rakyat Indonesia) warisi sejak Ogos 1945. Untuk masa kini dan masa depan bangsa ini. Itulah yang kita selalu akan pelihara dan kembangkan," katanya.

NONE Komunitas ini terletak di kawasan seluas 3.2 meter persegi di Jalan Salihara, Pasar Minggu, Jakarta Selatan.

Ia mempunyai tiga bangunan utama - Teater Salihara, Galeri Salihara serta bangunan pejabat dan wisma seniman.

Mengenai aktiviti di situ, Guntur (foto kanan) berkata, pihaknya pernah mengadakan festival teater, pertunjukan musik dan tarian tradisional.

Tambahnya, bulan Ramadhan lalu, Komunitas Salihara mengadakan forum seni dan Islam termasuk dari luar negeri seperti penyair Adonis dari Mesir.

Selain itu, komunitas juga mengadakan kuliah umum dan ceramah yang membicarakan tentang seni dan teater.

Di kesempatan itu juga, saya sempat berkenalan dengan budayawan dan sutradara teater terkenal Putu Wijaya dan aktornya Ikranegara.

Ketika kemi menjengah dan bertegur sapa dengan mereka di Teater Salihara, kedua-duanya kelihatan penat selepas bertungkus latihan pementasan teater "Kereta Kencana" hasil karya allahyarham WS Rendra.

Pementasan tersebut adalah penghargaan kepada allahyarham yang meninggal dunia pada 6 Ogos lalu.

NONE Sementara menunggu Goenawan, saya sempat membeli sehelai baju dan sebuah antologi drama pentas bertajuk Tan Malaka dan Dua Lakon Lain hasil karya nukilan Goenawan Mohamad, kolumnis 'Catatan Pinggir' dalam majalah Tempo .

Selepas mendengar penjelasan Guntur, saya dan rakan-rakan bertemu pula dengan Goenawan (foto: penulis bersama beliau) yang juga dikenali Mas Goen di Galeri Salihara.

Dalam pertemuan kira-kira sejam itu, antara perkara yang sempat kami berdiskusi termasuklah tentang kebudayaan dan identiti bangsa.

Goenawan turut menasihati kami agar sentiasa "bersikap analitikal dan krtikal" dalam menilai hujah dan padangan tanpa terikut-ikut dengan rentak lawan.

"Jangan bersikap dogmatik tetapi kritikal terhadap diri kita. Jangan mengikut gendang orang lain," katanya.

Kami juga dihadiahkan beberapa buah buku termasuk buku Ketika Sensor Tidak Mati-mati dan Utan Kayu: Tokoh dalam Montase.

Malam menyapa, perut sudah mengalunkan lagu keroncong, maka saya bersama seorang rakan wartawan menikmati sate daging Indonesia di gerai makan berhadapan dengan komunitas itu.

Ia hanya berkuahkan kicap dan dihidangkan bersama-sama kobis, tomato dan bawang merah dan nasi putih. Harganya cuma 22,000 rupiah. Enak sekali!

Esok: Kisah Laila dimadu

Hari pertama: Terhoyong-hayang ke pesantren

Hari kedua (bah 1): Rahima perjuang hak wanita Islam

Abdul Rahim Sabri, wartawan Malaysiakini, berkunjung buat kali pertama ke Indonesia setelah lama jatuh cinta pada sastera dan filem republik itu.

ADS