Khir: BN akan bantu Badrul

Jimadie Shah Othman        

Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, BN akan membantu ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah membuka dan mengaktifkan pusat khidmat wakil rakyat barunya.

"Kita akan minta bantuan kerajaan persekutuan. Walaupun beliau bukan wakil rakyat BN, tetapi dia menyokong BN macam (ADUN) yang lain juga," katanya yang juga bekas menteri besar Selangor.

Dr Mohd Khir diminta mengulas hasrat Badrul Hisham semalam untuk membuka satu pusat khidmat wakil rakyat baru untuk menyambung tugas sebagai "wakil rakyat yang baru."

NONE Beliau dilaporkan tidak mahu menggunakan logo mana-mana parti untuk pusat khidmat baru itu walaupun telah mengumumkan menyokong BN apabila keluar PKR akhir bulan lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Dr Mohd Khir berkata, Umno Selangor akan menyokong penuh pemberian dana kepada Badrul Hisham untuk kepentingan rakyat di kawasannya.

"Bagaimanapun, beliau kena ikut proses. Kena pohon dulu. Tetapi mungkin tahun depanlah (beliau dapat).

"Sekarang pun sudah hujung tahun. Sekarang ini beliau kena banyak-banyak bersabar," kata beliau yang kini dilantik sebagai ketua pemikir Umno Selangor.

Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan Pakatan di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyekat bantuan terhadap Badrul seperti "meludah ke langit."

"Mereka kata kerajaan BN tidak bagi peruntukan kepada wakil mereka, sekarang dia sendiri yang buat perkara itu. Perkara ini mereka tidak ketengahkan pula," sindir Dr Mohd Khir.

Katanya, beliau berhasrat menemui Badrul secepat mungkin untuk memberikan sokongan kepadanya yang kini menjadi ADUN bebas "mesra BN".

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In