Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelajar Universiti Malaya (UM) – yang ditahan berhubung siasatan kes menconteng perkataan "bini puaka" – akan bermalam di lokap hari ini sebelum polis memohon perintah reman esok.

Muhammad Saufi Jelani, yang ditahan di kampus tersebut sejurus selepas menduduki kertas akhir peperiksaan hujung semester pagi ini, perlu ditahan lanjut bagi melengkapkan siasatan polis terhadap insiden pada awal pagi 24 Jun lalu.

"Kita hendak lengkapkan siasatan. Kawan-kawannya yang lain telah pun dituduh di mahkamah. Tetapi dia tidak menyerah diri kepada polis," kata satu sumber polis.

Muhammad Saufi, seorang pelajar Akademi Pengajian Islam (API), suspek terakhir ditangkap daripada sekumpulan lima orang yang disiasat.

Beliau kini disiasat di balai polis Jalan Pantai Baru, kira-kira 200 meter di depan kampus berkenaan.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, sumber polis itu memberitahu, Muhammad Saufi akan dibawa ke depan majistret esok bagi mendapatkan perintah reman.

Difahamkan, polis menggunakan "budi bicara" dengan tidak menahan pelajar terbabit lebih awal sebelum beliau menghabiskan kertas-kertas peperiksaan subjek pengajiannya.

"Kami sudah gunakan budi bicara. Kalau kami tangkap kelmarin, macam mana dia hendak ambil periksa hari ini?" kata seorang pegawai yang enggan dikenali.

Muhammad Saufi disiasat bawah Seksyen 427 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25 dan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Polis menjejaki suspek berhubung siasatan kes contengan perkataan-perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding sebuah dewan utama API.

Selain kes menceroboh dewan utama API pada Jun lepas, siasatan polis juga berhubung simbahan petrol di permaidani merah yang bakal dilalui isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor untuk satu program di dewan tersebut.

Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum dewan tersebut digunakan oleh isteri Datuk Seri Najib Razak untuk program derma kanak-kanak Palestin, jam 9 pagi Rabu itu.

ADS