Kerajaan Pulau Pinang tidak sepatutnya mempertikaikan hasrat kerajaan persekutuan untuk melaksanakan projek melebarkan
landasan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth kerana ia penting untuk meningkatkan pertahanan negara.
Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Nik Ali Mat Yunus, berkata projek berkenaan - yang sudah tertangguh selama hampir 10 tahun - memang akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015), dan kerajaan kerajaan negeri sepatutnya membantu dalam urusan memindahkan 500 keluarga setinggan yang mendiami tanah milik Kementerian Pertahanan di situ supaya projek itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan.
"Projek ini tidak boleh tidak, mesti dilaksanakan kerana kerajaan mahu menyediakan prasarana pertahanan yang terbaik untuk keselamatan negara dan ia sudah tidak boleh ditangguhkan lagi," katanya kepada Bernama.
Nik Ali berkata projek itu sudah dirancang sejak Rancangan Malaysia Kelapan lagi dan tiada alasan untuk kerajaan negeri mengatakan ia tidak tahu mengenai projek itu kerana ia bukan perkara baru.
"Tidak benar sama sekali kerajaan negeri tidak tahu mengenainya kerana rekod mengenai cadangan itu serta arahan pemindahan setinggan telah ada sebelum ini. Semuanya ada dalam rekod.
"Apa yang perlu difikirkan bersama ketika ini ialah bagaimana hendak memindahkan penduduk dari tanah itu dan menyelesaikan beberapa perkara berbangkit supaya rancangan itu dapat diteruskan," katanya.
Baru-baru ini, anggota exco kerajaan negeri Phee Boon Poh mendakwa kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai projek itu.
Phee, juga ADUN Sungai Puyu yang merangkumi kawasan terlibat itu, dilaporkan berkata dalam mesyuarat bersama agensi kerajaan terlibat tiga bulan lalu bahawa beliau dimaklumkan tiada pembangunan akan dijalankan di tapak itu walaupun arahan mengosongkan tanah itu masih diteruskan.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak bersetuju dengan jumlah pampasan yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan kepada penduduk terlibat kerana kadar itu ditetapkan 10 tahun lalu dan sedia bekerjasama jika kadar itu lebih munasabah. BERNAMA
