Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gelora 10 tahun: Malaysiakini jadi saksi
Diterbitkan:  Nov 20, 2009 6:47 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

1999

Tanggal 20 November, Malaysiakini muncul 10 tahun lalu pada hari penamaan calon pilihan raya umum 1999.

Beberapa liputan berita utamanya pada bulan-bulan terakhir tahun tersebut ialah:

1. Foto yang 'berbohong'

sebuah akhbar berbahasa Cina menyiarkan sekeping foto kepimpinan BN yang telah diubahsuai untuk menunjukkan realiti politik semasa, dengan menggantikan wajah bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wajah timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

2. Pembangkang menang 45 kerusi

Malaysiakini meramalkan peralihan sokongan sebanyak 15 peratus di kalangan pengundi Melayu kepada pembangkang untuk membolehkannya menang 45 kerusi di Semenanjung Malaysia. Pada hari pengundian, pembangkang menang 42 kerusi.

3. Terengganu jatuh ke tangan PAS

PAS berjaya merampas satu lagi negeri - Terengganu, di samping mengekalkan Kelantan. Stesen televisyen tidak menyiarkan sebarang berita mengenainya hanya selepas BN berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga.

2000

Reformasi berada di kemuncaknya ekoran kejayaan pembangkang menang besar dalam pilihan raya umum 1999. Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan kempen untuk menebus kekalahan BN itu.

1. Eusoff, Lingam hadapi tuduhan baru

Tujuh tahun sebelum rakaman perbualan Lingam didedahkan, Malaysiakini mendedahkan bukti percutian peguam kanan VK Lingam dengan ketua hakim negara Eusoff Chin.

2. Lebuhraya Kesas: Polis tembak gas pemedih mata ke arah pemimpin BA

Perarakan 100,000 orang, seperti yang diura-urakan, disekat oleh polis berhampiran plaza tol Kemuning di Lebuhraya Kesas, yang merupakan pintu masuk ke Jalan Kebun di Shah Alam - tempat penyokong reformasi merancang untuk berhimpun.

3. Liku-liku perbicaraan kes Anwar

Negara dikejutkan dengan perbicaraan kes rasuah dan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu juga dengan masalah tulang belakang serta ulang-aliknya dari penjara ke hospital.

4. Bekas ketua polis Tan Sri Rahim Noor dihukum penjara

Rahim dihukum dipenjarakan dua bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menyerang Anwar dalam insiden 'mata lebam' pada kira-kira jam 10.45 malam, pada 20 September 1998.

5. BN kecundang di Lunas

Saifuddin Nasution, wakil Parti Keadilan Nasional menang di kubu kuat BN di Kedah dalam pertarungan sengit semasa pilihan raya kecil itu. Dr Mahathir menyalahkan kumpulan pelobi Suqiu yang menyebabkan pengundi Cina memilih pembangkang.

2001

Di pentas antarabangsa, berita serangan ke atas Amerika Syarikat pada 11 September serta serangan balas negara itu ke atas Afghanistan menjadi perhatian. Dalam negara pula, antara yang menjadi tumpuan:

1. MCA mengambil alih Nanyang Press

MCA mengumumkan mengambil alih Nanyang Pres Holdings, menyebabkan 90 daripada barisan kolumnis terkenal Nanyang meletak jawatan sebagai tanda protes.

2. Rusuhan kaum cemari Kampung Medan

Kampung Medan di Petaling Jaya Selatan digegarkan dengan peristiwa rusuhan kaum selama empat hari, menyebabkan enam terbunuh manakala 50 lagi tercedera.

3. Pasca-911: Perpecahan DAP-PAS

Barisan Alternatif terburai apabila PAS bertegas untuk menubuhkan negara Islam sekiranya berkuasa.

4. Dr Mahathir buru aktivis reformasi

Pada bulan April, sepuluh aktivis pro-reformasi, kebanyakannya pemimpin Keadilan, ditahan bawah ISA atas dakwaan cuba mengguling kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan kekerasan. Dua dibebaskan tetapi selebihnya ditahan selama dua tahun di Kamunting.

5. Anak luar nikah Sultan

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dituduh mengabaikan anak luar nikahnya, yang didakwa hasil hubungan dengan seorang jururawat Filipina pada awal 1980-an.

2002

Pada awal tahun, tiada sesiapa menyangka beberapa peristiwa di negara ini menjadi perhatian utama seluruh dunia.

1. Dr Mahathir berundur, Fadzil Noor meninggal dunia

Karier politik dua tokoh utama negara berakhir, menyebabkan kesan besar terhadap barisan pemimpin pelapis Umno dan PAS.

2. Malaysia dikaitkan dengan jaringan pengganas

Malaysia menjadi tumpuan dunia melalui liputan media antarabangsa berhubung aktiviti pengganas, bermula dari laporan Newsweek yang mendakwa Malaysia menjadi medan kepada kumpulan pengganas yang melancarkan serangan 11 September ke atas Amerika Syarikat.

3. Medium pelajaran dalam Bahasa Inggeris

Dr Mahathir menerima bantahan pelbagai pihak, termasuk Umno, selepas mencadangkan bahasa Inggeris diguna sebagai medium pengajaran di sekolah rendah.

4. Proses penubuhan negara Islam

Kerajaan Terengganu pimpinan PAS meluluskan Enakmen Hudud dan Qisas pada bulan Julai. Penguatkuasaan bagaimanapun tidak dijalankan.

5. ISA: Dalam kecaman

Akta ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara menerima kecaman daripada masyarakat apabila Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan yang memihak kepada enam aktivis reformasi pada bulan Sepember.

2003

Perang Iraq dan penyebaran wabak sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS) mendapat liputan meluas sepanjang 2003. Dalam negeri pula, Dr Mahathir meletak jawatan.

1. Perdana menteri baru

Selepas 22 tahun, Malaysia menyaksikan Tun Abdullah Ahmad Badawi mengangkat sumpah sebagai pendana menteri kelima.

2. Dokumen negara Islam PAS

Kertas biru negara Islam PAS dikeluarkan pada November, sekaligus mengundang kecaman dari segenap sudut, termasuk dari dalam parti dan sekutunya PKR.

3. Skandal pembalakan Umno Pahang

Kontroversi melanda Umno negeri apabila satu pendedahan dibuat mendakwa Umno Pahang diberikan tanah paya gambut seluas 10,000 ekar (40 kilometer persegi) oleh kerajaan negeri pada 1998.

4. Tahanan ISA: Ada yang bebas, ramai lagi ditahan

Perintah tahanan dua tahun bawah ISA ke atas enam aktivis reformasi, dikenali sebagai 'ISA 6' berakhir. Enam orang tersebut, pemimpin PKR Tian Chua, Mohd Ezam Mohd Noor, Dr Badrulamin Bahron, Saari Sungib, Lokman Adam dan kolumnis Malaysiakini dan penggiat filem Hishamuddin Rais.

5. 'Kekejaman polis': Lagi mati dalam tahanan

Sekurang-kurangnya 11 kematian dilaporkan, manakala gesaan supaya dilakukan inkues ke atas kes kematian tersebut diabaikan.

2004

Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan menjelang pilihan raya umum yang mencatat prestasi terbaik untuk BN.

1. Anwar dibebaskan

Selepas enam tahun dipenjara, bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untuk mengenepikan perintah mahkamah serta hukuman penjara enam tahun atas kesalahan liwat.

2. BN menang besar

BN menang besar dengan memperolehi majoriti empat perlima di Dewan Rakyat serta merampas semula Terengganu daripada PAS.

3. Scomi dikaitkan dengan leraian nuklear

Anak perdana menteri, Kamaluddin Abdullah Badawi, didakwa terlibat dengan pembekalan bahagian untuk senjata nuklear melalui syarikat Scomi Precision Engineering Sdn Bhd. Kamaluddin didakwa mempunyai kepentingan sebanyak 53 peratus.

4. Projek insinerator mega dibantah

Selepas dua tahun kempen membantah pembinaan insinerator mega di Broga - projek terbesar di dunia - dijalankan. Jabatan Alam Sekitar (JAS) meluluskan projek tersebut pada 17 Jun.

5. Tahun inkues

Beberapa inques mahkamah dijalankan ke atas kes kematian dalam tahanan dan juga kematian disebabkan polis dalam operasi penguatkuasaan.

2005

Selepas menyaksikan dan meratapi kesan bencana tsunami besar yang melanda Asia Tenggara, rakyat Malaysia menuntut ahli politik dan pembuat dasar supaya sentiasa berwaspada.

1. Kejutan bantuan tsunami

Rakyat Malaysia bersama masyarakat antarabangsa turut menghulur bantuan kemanusiaan dengan kutipan berjumlah RM78.9 juta.

2. Polis dalam skandal 'ketuk-ketampi'

Polis Diraja Malaysia mendapat perhatian dunia berikutan penyebaran video klip menunjukkan seorang wanita yang bogel melakukan 'ketuk-ketampi' di hadapan seorang polis wanita.

3. Rasuah dan pemimpin

Umno mendapati Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Isa Samad bersalah terbabit dalam politik wang pada bulan Jun kerana merasuah perwakilan semasa pemilihan parti pada September 2004.

4. Keris dan DEB

Ketua pemuda UmnoDatuk Seri Hishammuddin Hussein menghunus keris di perhimpunan agung Umno dengan ikrar untuk mempertahan kepentingan Melayu serta menuntut supaya DEB dihidupkan semula.

5. Tukar dasar medium pengajaran

Kerajaan menukar dasar dengan menggunakan medium bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah.

2006

Daripada insiden ketegangan antara kaum dan agama hinggalah kepada usaha-usaha politik dan siasatan ke atas 'istana rahsia,' pelbagai insiden yang berlaku ditatap dengan penuh minat dalam negara.

1. Pak Lah, Dr M bertembung

Rakyat Malaysia dikejutkan dengan pertikaian terbuka antara mantan perdana menteri Dr Mahathir serta pengganti pilihannya Abdullah. Dalam masa yang sama, Perwakilan Umno berucap dengan berapi-api selepas insiden Hishammuddin menghunus keris.

2. Karikatur Nabi, media jadi sasaran

Beberapa organisasi media yang dianggap melampau ekoran liputan berhubung isu karikatur Nabi Muhammad dikenakan tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Ini berikutan bantahan dari dalam dan luar negara kerana karikkatur tersebut didakwa 'menghina Islam.'

3. Pembunuhan Altantuya

Wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, 28, dilaporkan dibunuh dan badannya diletupkan dengan bahan letupan.

4. Rumah ibadat haram diroboh

Di seluruh negara, rumah-rumah ibadat haram, kebanyakannya kuil Hindu yang wujud sejak zaman penjajah, dirobohkan.

5. 'Napoleon kecil' di Selangor

Kegiatan Datuk Zakaria Mat Deros and ahli majlis lain terbongkar dalam episod melibatkan istana peribadi yang dibina tanpa permit dan perniagaan-perniagaan dijalankan di premis-premis tanpa kelulusan.

2007

Tahun yang menyaksikan puluhan ribu rakyat Malaysia membebaskan diri dari kawalan pemerintah.

1. 'Correct, correct, correct'

Berita terpenting tahun ini mengenai pendedahan rakaman perbualan Lingam oleh pemimpin umum PKR, Anwar Ibrahim pada 19 September.

2. Hindraf muncul dari bayangan

Kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang tidak dikenali sebelum ini, dipimpin oleh peguam dan adik beradik P Uthayakumar dan Waythamoorthy, bangkit memperjuangkan isu-isu akar umbi yang membelenggu masyarakat mereka.

3. Tuntutan pilihan raya 'Bersih'

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) menuntut satu sistem pilihan raya yang bebas daripada campurtangan dan syak wasangka. Lima parti politik dan 67 NGO mendukung gabungan ini.

4. Orang kanan jatuhkan ketua BPR

Mohamad Ramli Abdul Manan, pegawai kanan Badan Pencegah Rasuah (BPR) membuat beberapa tuduhan terhadap ketua pengarah agensi tersebut pada masa itu, Datuk Zulkipli Mat Noor, berkaitan isu rasuah dan serangan seksual.

5. Skandal projek di Pelabuhan Kelang

Kontroversi projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan perjanjian-perjanjian korporat dan politik.

2008

Tahun penuh bersejarah di Malaysia

1. Hukuman untuk BN

BN hilang 82 daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan dan hilang penguasaan dua pertiga dalam parlimen.

2. Anwar bangkit semula

Pilihan raya kecil Permatang Pauh diadakan selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi tersebut, membolehkan suaminya itu kembali aktif dalam persada politik.

3. Kemarahan akar umbi

Prestasi BN yang mengecewakan dalam pilihan raya pada Mac mencetuskan kemarahan terhadap presiden parti dan juga perdana menteri Abdullah.

4. Deja vu tuduhan liwat

Episod liwat berterusan dengan laporan polis Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu Anwar yang mendakwa diliwat penasihat PKR itu.

5. 'Perlindungan' polis kepada yang lantang

Wartawan Tan Hoon Cheng ditahan untuk 'perlindungannya' berhubung tulisannya dalam akhbar Sin Chew mengenai satu ucapan yang berapi-api. Turut ditahan ahli parlimen Teresa Kok dan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

2009

Perjalanan diteruskan... Untuk 10 Berita Utama Malaysiakini tahun ini, tunggulah laporan khas akhir tahun kami bulan depan.

NONE Malaysiakini akan merayakan ulangtahun ke-10 Sabtu ini, bersamaan 28 November, dengan majlis makan malam di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara. Hadirlah beramai! Harga tempat duduk bermula dari RM100.

Klik di sini untuk butiran lanjut.

ADS