Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AGM MCA tetap diadakan pada 4 Dis
Diterbitkan:  Nov 27, 2009 6:46 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA akan diadakan pada 4 dan 5 Disember ini seperti yang dijadualkan, kata Pengerusi Biro Penerangan dan Komunikasi MCA Senator Heng Seai Kie hari ini.

Menjelaskan kekeliruan yang timbul, Heng dalam satu kenyataan berkata tiada langsung rancangan untuk menjadualkan semula AGM dengan menundanya ke satu tarikh yang lain.

"Ibu pejabat MCA menerima banyak pertanyaan sama ada mesyuarat agung tahunan MCA yang dijadualkan pada 4 dan 5 Disember akan ditunda.

"Saya dengan ini menegaskan bahawa AGM bagi tahun 2009 akan berlangsung seperti yang dijadualkan iaitu 4 Disember untuk Pergerakan Pemuda dan Wanita MCA manakala 5 Disember bagi MCA induk," katanya.

Heng, yang juga anggota Jawatankuasa Pusat MCA, berkata sebarang cadangan bagi AGM itu ditunda hanya bertujuan untuk mengelirukan semua perwakilan pusat dan memecahbelahkan parti.

Katanya dakwaan penundaan AGM itu tidak benar dan mereka yang melakukan dakwaan itu tidak bertanggungjawab kerana meletakkan parti dalam situasi bahaya dan boleh mengakibatkan MCA dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Heng menyeru semua perwakilan pusat MCA supaya tidak mengendahkan cakap-cakap politik seumpamanya dan menghadiri AGM seperti yang dijadualkan demi kepentingan perpaduan parti.

Beliau berkata notis untuk mengadakan AGM telah dikeluarkan mengikut perlembagaan MCA. - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS