Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nik Aziz ubah doa bala untuk PM
Diterbitkan:  Dec 2, 2009 3:33 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Setelah dikecam hebat kerana meminta orang ramai secara umum mendoakan keburukan kepada Datuk Seri Najib Razak jika perdana menteri tidak memberikan royalti minyak kepada Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menukar sedikit saranannya itu dengan meminta agar doa itu dibuat secara individu.

"Oleh kerana perdana menteri terasa hati bahawa sebut nama dia dalam doa, maka saya minta tidak sebut secara beramai-ramai, hanya disebut bersendirian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Kota Bharu hari ini.

Beliau sebelum ini meminta orang ramai mendoakan agar Najib mengubah fikiran supaya memberikan royalti minyak itu, dan jika perdana menteri gagal berbuat demikian, orang ramai hendaklah mendoakan supaya Najib "ditimpa kemusnahan".

Berikutan kenyataannya itu, pelbagai pihak telah mengutuk beliau, dan semalam, 1,000 orang berkumpul di hadapan pintu masuk bangunan pentadbiran Kota Darul Naim untuk secara terbuka menunjukkan rasa tidak senang hati mereka.

Dalam reaksinya sebelum ini, Najib berkata beliau tidak faham kenapa doa sedemikian perlu dibuat kerana kerajaan pusat telah membantu kerajaan Kelantan dengan menyediakan wang ihsan dan peruntukan lebih RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan walaupun negeri itu diperintah oleh PAS.

Perdana menteri juga berkata Nik Aziz perlu sedar bahawa umat Islam melihat hasrat untuk mendoakan keburukan orang lain itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat Islam.

Nik Abdul Aziz berkata beliau kesal dengan pihak yang membesar-besarkan isu doa itu sehingga mencetuskan kekeliruan.

Beliau menjelaskan permintaan doanya pada peringkat awal ini adalah untuk meminta Tuhan mengubah hati perdana menteri supaya memberikan royalti minyak kepada Kelantan, dan jika itu gagal, barulah dibuat doa minta bala terhadap Najib.

"Jika tak beri barulah kita doakan kepada kemusnahan. Saya nak minta dia bayar royalti. Takkan orang buat kita, kita nak dok diam," katanya.

Demonstrasi 'budak nakal'

Sementara itu, Nik Abdul Aziz juga berkata beliau tidak akan meletak jawatan sebagai menteri besar Kelantan walaupun didesak pelbagai pihak.

"Mustahil saya perlu akur dan meletakkan jawatan semata-mata kerana digesa oleh 200 orang budak-budak nakal, bawah pohon jati di pintu SUK (pejabat pentadbiran negeri Kota Darulnaim)," katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada demonstrasi oleh satu kumpulan yang mahu beliau berundur kerana gagal memajukan Kelantan.

Kumpulan dikenali Jemaah Rakyat Prihatin Kelantan itu turut menyerahkan satu memorandum meminta beliau menarik balik kenyataan yang meminta penduduk Kelantan berdoa agar Najib ditimpa keburukan jika enggan memberikan wang royalti minyak kepada Kelantan.

Nik Aziz berkata beliau tidak akan menarik balik kenyataannya itu serta meminta maaf kepada Najib seperti yang dituntut oleh kumpulan itu.

"Mengapa harus saya hiraukan suara budak-budak Umno yang tak sampai 200 orang itu supaya saya meminta maaf sedangkan presiden Umno (Najib) selaku orang nombor satu pun tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik," katanya.

Sebelum ini Najib berkata beliau tidak akan meminta Nik Aziz meminta maaf tetapi, katanya, beliau tidak faham kenapa doa sedemikian perlu dibuat kerana kerajaan pusat telah membantu kerajaan Kelantan dengan menyediakan wang ihsan dan peruntukan lebih RM7 bilion dalam Rancangan Malaysia Kesembilan walaupun negeri itu diperintah oleh PAS.

Perdana menteri juga berkata Nik Aziz perlu sedar bahawa umat Islam melihat hasrat untuk mendoakan keburukan orang lain itu sebagai keterlaluan dan tidak melambangkan semangat Islam. BERNAMA

ADS