Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, timbalan menteri pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib ada menyatakan hasratnya untuk meletak jawatan.

Katanya, beliau akan berbincang perkara itu dengan BN Sarawak terlebih dahulu.

"Nantilah dulu apa keputusannya," kata Najib dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibunegara malam ini.

sulaiman taib Ditanya mengenai sebabkan Sulaiman (foto) mahu meletak jawatan, Najib berkata, ia adalah atas sebab-sebab peribadi.

Perdana menteri bagaimanapun enggan mengulas bila Sulaiman menyerahkan surat peletakan awatan itu kepadanya.

Sebelum ini, laporan Malaysian Insider yang memetik sumber-sumber berkata, anak ketua menteri Sarawak itu, telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Najib atas sebab kesihatan.

Bagaimanapun terdapat desas-desus sejak beberapa minggu lalu yang mendakwa Sulaiman mengambil keputusan meletak jawatan kerana tidak sehaluan dengan Menteri Pelancongan, Datuk Dr Ng Yen Yen.

Juga terdapat spekulasi yang mendakwa, ianya ada kaitan dengan pelantikan bekas ketua pegawai eksekutif MAS, Datuk Idris Jala sebagai menteri penuh.

Sebelum menyertai kerajaan, Sulaiman menerajui syarikat milik keluarganya, Cahaya Mata Sarawak Bhd (CMS).

Beliau juga merupakan bekas pengerusi RHB Capital - cawangan pembankan RHB, yang pernah dimilik oleh CMS.

Dalam pilihanraya umum lalu, Sulaiman menggantikan bapanya sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk bertanding di kerusi parlimen Samarahan dan kemudiannya terus dilantik sebagai timbalan menteri oleh perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Program Umno

Sebelum itu, Najib yang juga presiden Umno berkata, mesyuarat MT malam ini telah meluluskan program yang akan dijalankan oleh Umno tahun depan.

Menurutnya, program-program yang berkonsep 'Umno sebagai juara rakyat'itu meliputi bidang pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawan dan ekonomi serta sosial.

Program-program tersebut, katanya, akan mula dilaksanakan bulan depan secara berterusan serta akan turut membabitkan parti-parti komponen BN yang lain.

Najib juga memberitahu bahawa Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah meluluskan pindaan perlembagaan Umno berkuatkuasa 10 November lalu.

Pindaan tersebut yang diluluskan dalam mesyuarat agung Umno baru-baru ini, termasuk memperkenalkan sistem pendaftaran menggantikan sistem kuota pencalonan dan pemilihan bagi peringkat bahagian dan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan secara serentak.

Umno juga, kata perdana menteri, akan melaksanakan kaedah pemutihan ahli supaya senarai keahliannya adalah terkini.

Di samping itu, katanya, ia juga penting untuk menentukan kesahihan ahli parti itu.

ADS