Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chua: Pemilihan baru MCA mungkin tak jadi
Diterbitkan:  Dec 7, 2009 12:21 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Besar kemungkinan pemilihan baru MCA tidak dapat diadakan ekoran isu teknikal dan perundangan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau memberitahu demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat (CC) MCA khas di ibu pejabat parti itu di ibunegara pagi ini.

Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Chua itu, ditubuhkan untuk menetapkan tarikh dan cara pemilihan baru itu hendak diadakan.

Mesyuarat tersebut berlangsung selama-lama kira-kira sejam.

Chua berkata ekoran banyak isu-isu teknikal dan perundangan yang terbabit, besar kemungkinan pemilihan baru tidak dapat diadakan.

"Kemungkinan (tidak ada pemilihan baru) itu besar sekali," tambahnya.

Chua berkata setakat ini hanya 13 anggota CC, termasuk beliau sendiri, bersetuju untuk meletakkan jawatan masing-masing.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti 12 lagi anggota CC yang bersetuju berbuat demikian.

Menurut perlembagaan parti, pemilihan baru itu hanya boleh diadakan sekiranya sekurang-kurang dua pertiga atau 20 anggota CC meletak jawatan.

Sebelum ini, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 13 anggota CC yang bersetuju meletak jawatan adalah dari kalangan penyokongnya.

Chua juga membayangkan bahawa satu-satunya cara untuk mengakhir krisis kepimpinan MCA sekarang ialah dengan mengadakan pemilihan bagi memilih semula semua penyandang sekarang.

Rabu lalu, mesyuarat jawatankuawa pusat MCA memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunannya (AGM) yang dijadual berlangsung Sabtu lalu ke tarikh lain bagi memilihkan parti membuat keputusan mengenai pemilihan baru tersebut.

Desakan supaya diadaka pemilihan itu dibuat oleh penyokong Liow tetapi Chua dan presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu ia diadakan selepas bulan Mac depan. Liow mahu pemilihan itu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Chua mengulangi hari ini bahawa walaupun krisis parti itu mesti diselesaikan secepat mungkin melalui pemilihan baru, tetapi anggota CC tidak harus dibebankan dengan tarikh akhir untuk meletak jawatan.

"Tiada siapa pun yang harus bercakap mengenai tarikh akhir (mengadakan pemilihan baru) pada bulan Januari," katanya.

Chua juga berkata 'pemilihan baru tanpa pertandingan" mungkin merupakan cara terbaik untuk menamatkan kebuntuan sekarang, tetapi tidak menerangkan lebih lanjut mengenainya.

Liow, yang turut menganggotai jawatankuasa khas tersebut, pula berkata, pihaknya sedang berusaha untuk meyakinkan anggota CC yang lain untuk meletak jawatan.

"Saya tidak mahu bercakap banyak... Terlalu banyak kenyataan akan menjejaskan usaha kita," katanya sebelum beredar dari Wisma MCA.

Dalam pemilihan parti pada 2002, calon bagi jawatan utama dicalonkan semula dan menang tanpa bertanding - selepas perdana menteri dan pengerusi BN ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengusahakan 'pelan damai' untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS