Terserah kepada anggota Jawatankuasa Pusat (CC) MCA sama ada mahu meletakkan jawatan ataupun tidak memberi laluan kepada pemilihan baru, kata Ketua Penerangan parti Senator Heng Seai Kei hari ini.
"Itu adalah hak mereka dan mereka bertanggungjawab kepada perwakilan pusat yang telah memilih mereka selama tiga tahun," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur.
Heng turut menyatakan penghargaan beliau terhadap keprihatinan yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang semalam menggesa anggota CC MCA yang dipilih untuk memberi laluan bagi pemilihan baru parti.
Sementara itu, bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Fong Chan Onn berkata cara paling cepat untuk membolehkan parti distabilkan dan untuk menyelesaikan krisis parti ialah dengan mengadakan pemilihan baru.
"Saya menaruh keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan anggota jawatankuasa pusat bahawa mereka akan dapat mencari jalan untuk mengadakan pemilihan bagi jawatan parti dalam tempoh paling cepat tanpa menimbulkan satu lagi krisis kepada parti," katanya. - Bernama
