Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

analisis Sokongan rakyat Kelantan kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat kini amat bermakna, lebih-lebih lagi ketika Tok Guru yang disegani itu berhadapan dengan tekanan baru apabila anggota keluarganya sendiri terseret dalam kontroversi politik di negeri itu.

BN sedaya upaya mereka menggunakan peluang tersebut bagi meruntuhkan pentadbiran Kelantan bawah PAS dengan memanipulasi isu-isu berkaitan menteri besarnya.

Namun menurut seorang exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan, tekanan yang kini ditanggung tokoh besar PAS itu bukanlah sesuatu yang baru.

"Sebagai pemimpin, isu-isu ini biasalah (bagi Nik Aziz), sebab dia tentu ada pesaing-pesaing politik. Tapi secara keseluruhannya, apa-apa sumbangan yang dia telah buat itu masih mengatasi apa juga isu melibatkan keluarga atau peribadinya," katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui isu-isu yang berlarutan sejak akhir-akhir ini, termasuk melibatkan penajaan haji dan karenah individu-individu terdekat dengan menteri besar itu boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap ulama tersebut.

"Tapi orang masih boleh nampak sumbangan (Nik Aziz) lebih besar daripada isu ini. Kepemimpinannya masih lagi mantap dan diterima oleh rakyat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Isu tajaan ini timbul apabila Nik Aziz menyatakan kesudian untuk menerima tawaran mengerjakan haji daripada seorang pengarah sebuah syarikat.

Penajaan itu dilaporkan turut melibatkan isteri Nik Aziz, anaknya Nik Amalina dan suami Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang bergelumang dalam satu lagi kontroversi.

Namun, mursyidul am PAS kemudiannya bertukar fikiran pada 13 November selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan membuka kertas siasatan kes tajaan berjumlah hingga ratusan ribu ringgit atau RM65,000 seorang.

"Setahu saya isu ini masih lagi dalam siasatan. Jadi tak boleh kata beliau bersalah," kata Takiyuddin lagi.

Selain isu tajaan haji, Nik Aziz juga menerima kritikan hebat kerana didakwa mengamalkan nepotisme dengan melantik Abdul Ariffahmi untuk menerajui PMBK September lalu - sehingga mendorong exco Pemuda PAS negeri itu diminta meletakkan jawatannya.

Abdul Ariffahmi kemudiannya berkata beliau akan menyerahkan notis tiga bulan pada 24 Disember ini, walaupun mengumumkan untuk berbuat demikian sebulan lebih awal, dan peletakan jawatannya berkuatkuasa 23 Mac tahun depan.

Menurutnya, ia terkandung dalam syarat pelantikannya dulu serta untuk memberi masa beliau menyelesaikan kerja-kerja yang telah diputuskan oleh lembaga pengarah PMBK.

Bagaimanapun, semalam Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkeras bahawa Abdul Ariffahmi mesti meletakkan jawatan serta-merta bagi memelihara etika korporat.

Desakan Mahfuz itu selepas muncul pergeseran terbuka antara penulis blog Kickdefella Syed Azidi Syed Abdul Aziz, juga pegawai perhubungan awam PMBK yang telah dipecat oleh Abdul Ariffahmi, dengan Nik Amalina dan suaminya.

Dalam pada itu, Umno Kelantan pula mengambil kesempatan untuk menekan Nik Aziz agar meletak jawatannya dalam satu demonstrasi awal bulan ini - isunya termasuk ugutan untuk berdoa bala terhadap perdana menteri dan Umno berhubung bayaran royalti petroleum.

Demonstrasi itu muncul di tengah-tengah himpitan kontroversi yang melingkari Nik Aziz, termasuk dakwaannya "Kolonel Mat" sebagai dalang untuk menjatuhkan beliau - nama misteri yang membuatkan semua pihak tertanya-tanya.

Rentetan itu, satu perhimpunan balas diadakan selepas tokoh PAS itu menyampaikan kuliah Jumaatnya di Kota Bharu minggu lalu.

"Kalau kita buat (perhimpunan), orang akan kata begitu (sebagai perhimpunan balas). Tapi kalau kita tak buat perhimpunan, orang akan tanya kenapa tak buat?

"Ada isu yang perlu kita tunjuk (sokongan), dan ada juga yang kita tak perlu tunjuk. Kita tak perlu pun buat perhimpunan dan rakyat tetap akan sokong kita.

"Tapi kalau kita tak tunjuk, Umno akan kata mereka betul dan (tuduh) kita cuba sorok isu. Jadi itulah pertimbangan yang kita ambil," kata Takiyuddin lagi.

Susulan gesaan supaya Nik Aziz meletak jawatan, timbul pula desas-desus siapa pengganti tokoh berkenaan, termasuk seorang exconya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mencadangkan "pelan peralihan kuasa" dibentangkan.

Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa, yang dianggap anak didik Nik Aziz, pula mengambil sikap enggan menerima jawatan panas tersebut walaupun sering disebut-sebut sebagai pengganti menteri besar.

Bagaimanapun Takiyuddin menyifatkan isu pengganti juga “soal biasa” kerana jawatan sebagai menteri besar itu secara hirarkinya telah mempunyai pengganti – timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yaakob.

"Pengganti itu soal biasa, apatah lagi bila dalam konteks beliau sebagai MB. Secara (hirarki) beliau sudah ada timbalan. Kalau ada apa-apa yang berlaku, maksudnya pengganti itu sudah ada," katanya.

Tambahnya, yang dianggap musuh politik Husam, soal pengganti Nik Aziz juga sengaja ditimbulkan pihak tertentu sebagai satu lagi tekanan kepada pentadbiran negeri dan PAS Kelantan.

"Tapi mungkin isu itu ditimbulkan sebab sesetengah orang nak perkara itu disebut juga supaya lebih jelas, saya tidak mahu sebutlah pihak mana,” kata Takiyuddin.

"Tapi kalau tidak disebut pun tidak menjadi masalah kepada pentadbiran negeri, dalam PAS atau di kalangan rakyat sendiri.

"Umno itu tidak usah kiralah. Sebab bagi mereka (Umno), kalau tidak ada tok guru, mudah bagi mereka untuk ambil kembali Kelantan."

Jelasnya lagi, Kelantan tidak hanya bergantung kepada Nik Aziz kerana negeri itu juga mempunyai barisan pemimpin yang masih mampu meneraju parti dan pentadbiran kerajaan.

Setiausaha perhubungan PAS negeri Mohd Zaki Ibrahim berpendapat, kontroversi di sekitar Nik Aziz "sudah selesai" tetapi tokoh itu dilihat masih terbeban dengan isu-isu berkenaan kerana ia terus diulas melalui media sehingga memberi gambaran yang tidak tepat.

"Tok guru sendiri sudah selesaikan isu tersebut. Dia sudah beritahu tidak mahu pergi haji. Ariffahmi juga sudah letak jawatan, jadi dikira perkara ini sudah selesai," katanya.

"Isu jadi besar bila dimainkan media, ditambah lagi dengan orang Umno yang ambil kesempatan untuk desak dia letak jawatan."

ADS