Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Luahan perasaan anak perempuan menteri besar Kelantan – yang asalnya mengkritik keras penulis blog Kickdefella Syed Azizi Syed Abdul Aziz – turut memberikan "tempias politik" terhadap pemimpin lain di negeri itu.

Syed Azizi berkata, walaupun artikel anak Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertujuan membela suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman yang diasak agar melepaskan jawatan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetapi secara tidak langsung kandungannya menyinggung peranan barisan exco negeri.

"Kalau hendak ikut surat (Nik Amalina) itu, semua exco kerajaan negeri patut letak jawatan.

"Ia menggambarkan keputusan melantik Abdul Ariffahmi itu hasil daripada 'persidangan meja bulat' Tok Guru (Nik Aziz).

"Seolah-olah (Nik Aziz) hilang kepercayaan terhadap exconya," katanya, yang secara terbuka bertembung dengan Abdul Ariffahmi setelah dipecat sebagai pegawai perhubungan korporat PMBK.

Pada 27 November lalu, Nik Amalina melalui artikelnya yang disiarkan dalam blog seorang wakil rakyat PAS, dengan penuh emosi mempertahankan suaminya dan mengkritik Syed Azidi.

Selain mengutip khabar angin yang menggambarkan Syed Azidi tidak berakhlak Islam, Nik Amalina turut mendedahkan fungsi ‘persidangan meja bulat’ di rumah bapanya bagi berbincang "apa saja isu yang terluah di meja makan" .

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syed Azidi enggan mengulas lanjut berhubung kritikan Nik Amalina itu, tetapi secara sinis berkata:

"Saya tidak mahu komen tentang isteri orang. Tetapi kalau isteri saya, kalau saya buat kesilapan, dialah orang pertama yang akan menegur saya."

Mengulas kritikan secara peribadi Nik Amalina terhadapnya – antaranya dengan mempertikaikan akhlak Islamnya – Syed Azidi berkata, perkara itu didengari sejak hari pertama beliau menjejakkan kaki di Kelantan pada 2007.

"Dan pada Disember 2008 Abdul Arriffahmi sendiri ada tanya saya berhubung perkara itu. Dia kata dia dengar ada orang kata.

"Saya kata, mintalah orang itu kemukakan bukti," jelasnya yang popular dengan nama blognya itu atau kadang-kadang Sheih.

Diminta mengulas sama ada PAS masih tidak dapat menerimanya kerana tidak membawa perwatakan Islam ala PAS, seperti memakai kopiah, Syed Azidi berkata:

"Pada saya berbahaya kalau PAS balik pada imej itu. Ia akan memakan diri. Sokongan dalam pilihan raya bukan daripada ahli PAS sahaja, tetapi majoriti senyap (silent majority) yang lain.

"Mereka menyokong PAS bukan semata-mata kerana agama, tetapi prinsip. Dalam amalan demokrasi, undi peminum arak, orang tidak pakai tudung juga sama-sama penting," katanya.

ADS