Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kira-kira 500 penduduk keturunan India, termasuk dari Ladang Batu Pekaka, Kuala Ketil merancang mengadakan satu perhimpunan esok kerana membantah rancangan kerajaan negeri Kedah untuk memindahkan tanah perkuburan Hindu di situ.

Pengerusi kubur Persatuan Tamilar Kuala Ketil, Raj Maniyan Varathan berkata perkuburan tersebut terletak dalam sebahagian daripada 850 ekar yang akan dijadikan tapak pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) - milik penuh kerajaan negeri..

NONE "Kami mahu kubur itu kekal di sini. Kami tak mahu ia dipindahkan. Ini adalah permintaan masyarakat India di sini.

"Kami minta kerajaan Kedah mempertimbangkan perkara ini," kata Raj Maniyan.ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya, perhimpunan tersebut akan diadakan jam 9 pagi esok di kawasan perkuburan tersebut.

Menurutnya, tanah perkuburan Hindu tersebut sudah berusia lebih 80 tahun dan kini memuatkan kira-kira 160 kubur.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Raj berkata, beliau bersama tiga jawatankuasa persatuan tersebut telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada 5 September lalu untuk membincangkan perkara itu.

Pertemuan tersebut, katanya, turut dihadiri exco kerajaan negeri, S Manikumar yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal masyarakat India dan pekerja ladang di negeri itu; pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim; ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan; wakil pemaju dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Dalam pertemuan tersebut, katanya, Azizan memaklumkan kepada mereka bahawa kubur tersebut perlu dipindahkan kerana kawasan itu akan dijadikan tapak universiti tersebut.

Berikutan itu, kata Raj lagi, Azizan menawarkan kawasan baru dekat situ serta sedia membayar pampasan yang lumayan kepada waris si mati yang dikebumikan di situ.

Bagaimanapun, Raj enggan mendedahkan secara perinci tuntutan dan jumlah pampasan yang dipersetujui dalam pertemuan tersebut.

Dalam pertemuan itu juga, katanya, beliau meminta kepada menteri besar supaya persetujuan yang dicapai itu dibuat secara hitam putih.

Bagaimanapun, dua minggu kemudiannya, kata Raj, beliau telah menerima surat dari Manikumar yang mendakwa bahawa kerajaan Kedah tidak dapat memenuhi sepenuhnya apa yang telah dipersetujui dalam pertemuan sebelum ini.

"Saya tanya Manikumar mengapa dulu cakap lain, sekarang jadi lain," kata Raj sambil menambah, Manikumar kemudiannya meminta mereka mengemukakan tuntutan secara bertulis.

Sehubungan itu, katanya, beliau menulis surat bertarikh 29 Oktober lalu, kepada menteri besar meminta agar mempertimbangkan tuntutan mereka, antaranya, memohon tanah seluas tujuh atau lapan ekar di situ, untuk dijadikan kawasan perkuburan Hindu dan pusat komuniti India serta kos pemindahan kubur di situ.

Raj berkata, surat tersebut diserahkan kepada menteri besar melalui Manikumar yang juga ADUN Bukit Selambau.

Bagaimanapun, kata Raj, beliau kemudiannya menerima surat dari Manikumar yang meminta mereka "mengikut apa yang telah dipersetujui oleh kerajaan Kedah".

Ekoran itu, Raj bertemu dengan Manikumar dan meminta beliau mengatur pertemuan dengan Azizan sekali lagi.

Beliau juga turut menulis surat kepada Azizan memintanya mempertimbangkan tuntutan mereka, tetapi sehingga kini pihaknya belum mendapat sebarang maklum balas dari kerajaan.

ADS