Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat rayuan terhadap pelepasan dan pembebasan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab daripada tuduhan rasuah.
Mirza dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu, tanpa dipanggil membela diri.
Mirza, 52, (kiri) dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima suapan RM13,860, daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media, di mana syarikat itu telah membiayai rawatan pergigian Mirza di Clinical Practise Prosthodontic.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di klinik itu di No.15, Tingkat Bawah, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, antara 17 Januari dan 26 Julai 2005.
Pada masa itu, Mirza adalah timbalan ketua pengarah 1 di Kementerian Pelancongan, manakala abangnya, Mirza Mohd Tariq merupakan rakan pengurusan di syarikat Perunding Pakar Media.
Sementara itu, Bernama melaporkan Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz turut membenarkan permohonan suruhanjaya itu untuk memfailkan petisyen rayuan di luar had masa.
Dalam penghakimannya Zainal Azman berkata permohonan tersebut adalah berasas dan kelewatan yang berlaku selama dua hari bukanlah disengajakan.
Beliau mengarahkan SPRM memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
"Pemohon (pendakwaan) menyatakan bahawa pada 21 Ogos lalu, pemohon telah menerima salinan alasan penghakiman dan nota keterangan daripada Mahkamah Sesyen dan tarikh untuk memfailkan petisyen rayuan adalah pada 4 September lalu.
"Pemohon telah memfailkan petisyen rayuan pada 4 September 2009 dan pada 15 September 2009 pemohon telah menerima surat daripada mahkamah menyatakan bahawa petisyen rayuan telah difailkan di luar masa kerana salinan alasan penghakiman dan nota keterangan telah dimasukkan pada 19 Ogos 2009.
"Pemohon tiada pengesahan akan hal ini kerana cop penerimaan di bahagian pendakwaaan bertarikh 21 Ogos 2009. Hal ini hanya akan dikemukakan pada 15 September 2009," katanya.
Pada 18 September lepas pihak pendakwaaan telah memfailkan notis usul supaya mahkamah membenarkan pihaknya merayu keputusan Mahkamah Sesyen dengan memfailkan notis usul bagi menghidupkan semula rayuan yang telah dicabar oleh mahkamah dan memohon kebenaran untuk memfailkan petisyen rayuan di luar had masa mengikut Seksyen 310 Kanun Acara Jenayah.
Notis rayuan sepatutnya difailkan pada 2 September lalu tetapi pihak pendakwaan melebihi had masa itu selama dua hari.
SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Fariza Hamzah manakala Mirza diwakili peguam Saseedharan Menon dan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.
