Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bersetuju untuk membatalkan pindaan senarai nama ahli jawatankuasa beberapa masjid di negeri itu.

Keputusan itu dibuat ekoran perbincangan antara Pengarah JAIP Datuk Mohamad Nor Mansur (foto, baju biru) dengan ADUN Slim, Datuk Khusairi Abdul Talib (foto, kiri) yang mendedahkan semalam bahawa senarai nama telah dipinda dengan memasukkan nama penyokong PAS.

Keputusan ini dinyatakan oleh Penghulu Mukim Slim River, Mohd Rashid Mohd Hassan, yang turut hadir dalam perjumpaan selama kira-kira sejam di pejabat Khusairi pagi tadi.

Berikutan itu, tambahnya, JAIP akan mengguna pakai semula senarai nama jawantakuasa yang telah dipersetujui pada 2 Ogos lalu.

Khusairi dilaporkan berkata beliau turut menerima laporan bahawa pertukaran nama itu turut melibatkan beberapa masjid dalam kawasan-kawasan parlimen Bagan Serai, Sungai Siput dan Kuala Kangsar.

Slim antara tiga kawasan DUN bawah parlimen Tanjung Malim.

ADUN itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak beretika dan membelakangkan senarai yang telah diperkenankan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

NONE Menurutnya, masjid dalam mukim Slim yang dikesan terlibat adalah Masjid Sultan Idris Shah II, Masjid Kampung Kelan, Masjid Jamek Kampung Kuala Slim, Masjid Jamek Slim Village, Masjid Jamek Kampung Balun, Masjid Jamek Kampung Pasir dan Masjid Jamek Kampung Rasau.

Pertemuan lancar

Manakala dalam mukim Hulu Bernam pula, ia melibatkan Masjid Behrang 2020, Masjid Jamek Tanjung Malim, Masjid Jamek Kampung Sungai Dara dan Masjid Jamek Behrang Stesen.

Mengulas lanjut, Mohd Rashid memberitahu Malaysiakini bahawa perbincangan mulai jam 11.30 pagi itu berjalan lancar dan beliau gembira kerana isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

"Saya tengok tak ada bantahan dan mereka saling bersalaman antara satu dengan lain," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd Rashid berkata senarai asal nama AJK masjid, khususnya di DUN Slim, diputuskan dalam mesyuarat yang dihadiri oleh, antaranya, Orang Besar Jajahan (OBJ) daerah Batang Padang, Datuk Yeop Junior Yeop Adlan; pegawai penyelaras masjid daerah Slim River, Baharudin Ishak dan enam penghulu mukim, termasuk dirinya.

Ditanya mengenai proses pelantikan jawatankuasa masjid, Mohd Rashid berkata, mereka dilantik berdasarkan kehendak masyarakat dan ahli kariah serta pandangan ketua kampung.

Ia kemudian dibawa kepada pengetahuan penghulu dan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yeop Junior sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Agama Islam Perak.

Menurut Mohd Rashid lagi, pengarah JAIP telah menemuinya sebelum mengunjungi ADUN Slim di pejabatnya bagi menjelaskan isu pindaan senarai tersebut.

Majlis penyerahan ditangguh

Katanya, beliau sendiri tidak tahu-menahu mengenai perubahan senarai nama itu kerana tidak ada lagi mesyuarat susulan selepas keputusan dibuat pada 2 Ogos lalu.

"Pertemuan saya dengan pengarah JAIP turut dihadiri oleh pegawai tadbir agama (PTA) dari Slim River dan Tapah pada jam jam 10 pagi," katanya.

Selepas itu, katanya, beliau mengikut pengarah JAIP bertemu dengan ADUN Slim.

Menurut Mohd Hassan lagi, beliau hanya menyedari mengenai pindaaan senarai tersebut pada 10 Disember, iaitu sehari sebelum majlis penyerahan watikah pelantikan jawatankuasa masjid diadakan.

"Saya tengok senarai sudah lain daripada apa yang dicadangkan. Saya tengok senarai bagi setiap masjid, sudah lain dari apa yang kita bincang.

"Nama ahli jawatankuasa yang dilantik telah dibatalkan dan diganti kepada orang yang tidak sepatutnya, orang PAS," katanya.

Katanya, selepas melihat senarai nama tersebut, beliau terus menghubungi Yeop Junior dan Khusairi untuk memaklumkan kepada mereka mengenai pindaan nama pada senarai jawatankuasa terbabit.

Ekoran itu, katanya, majlis penyerahan watikah yang dijadualkan berlangsung pada 11 Disember lalu, ditangguhkan kepada suatu tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Sementara itu, ADUN Slim mengesahkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan pengarah JAIP pagi tadi berhubung itu berkenaan.

"Senarai telah kembali pada yang asal," katanya melalui kiriman SMS kepada Malaysiakini petang ini.

ADS