Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin AMK S'gor direman tiga hari
Diterbitkan:  Dec 19, 2009 4:53 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Polis sudah mendapat perintah tahanan reman selama tiga hari, mulai hari ini, terhadap dua pemimpin Angkatan Muda keadilan (AMK) Selangor yang ditahan semalam semasa sedang mengedar risalah dipercayai berbaur hasutan di perkarangan masjid negeri Shah Alam semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata Ketua AMK Selangor, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin dan Timbalan Ketua AMK Kelana Jaya, Azizi Ahamad direman bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut.

"Setakat ini hanya mereka berdua sahaja yang ditahan, polis masih menjejaki mereka yang disyaki terlibat dalam perbuatan mengedarkan risalah berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mengedar risalah tanpa permit serta mengandungi maklumat yang cuba menghasut orang ramai supaya percaya mahkamah dalam negara tidak berintegriti, dan kedua-dua mereka kini masih ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah di Seksyen 11 di Shah Alam sejak semalam.

Beliau seterusnya memberi amaran kepada mana-mana pihak agar jangan cuba mencabar polis dengan mengadakan demonstrasi haram atau menganjur forum yang menyentuh sebarang perbicaraan mahkamah, kerana ia merupakan perbuatan subjudis.

Semalam, Khairul Anwar dan Azizi ditahan kira-kira pukul 2.10 petang selepas solat Jumaat ketika mengedar risalah yang antara lain mengandungi desakan kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur agar menyegerakan satu prosiding.

Sementara itu Ketua AMK pusat Shamsul Iskandar Md. Akin mengetuai 50 anggota sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mengadakan demonstrasi di depan Auditorium MBSA tempat berlangsung Konvensyen PKR yang pertama, sebagai membantah penahanan ke atas kedua-dua pemimpin AMK tersebut.

ADS