Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Haram buku: Keputusan SIS cabar KDN 25 Jan
Diterbitkan:  Dec 21, 2009 4:05 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 25 Jan bagi memutuskan berhubung permohonan Sisters in Islam (SIS) untuk menarik balik pengharaman buku bertajuk Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism .

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada Peguam Kanan Persekutuan Noor Hishamuddin Ismail - yang mewakili Menteri Dalam Negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar - dan peguam Malik Imtiaz Sarwar

yang mewakili SIS.

sisters in islam anti book banning book burning campaign 190808 noraini othman SIS, dalam permohonan bagi semakan kehakiman yang difailkan pada 15 Dis tahun lepas, mendakwa pengharaman buku itu adalah di luar bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan menyalahi Artikel 8(2), 10 (1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Buku itu merupakan susunan esei-esei berdasarkan kajian oleh aktivis dan cendikiawan antarabangsa dan disunting oleh ahli sosiologi Prof Norani Othman (foto) dari Institut Kajian Antarabangsa dan Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Buku tersebut diharamkan atas alasan ia cenderung ke arah mengelirukan masyarakat Islam khususnya wanita dan satu percubaan untuk mentafsirkan kenyataan mengenai Islam.

Sebelum itu, Noor Hishamuddin berhujah bahawa menteri mempunyai budi bicara yang mutlak untuk membuat keputusan itu kerana beliau telah mendapatkan pandangan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung undang-undang Islam sebelum membuat keputusan.

Katanya, mahkamah tidak patut campur tangan berhubung keputusan itu kecuali menteri telah bertindak secara tidak rasional dan menyalahi undang-undang apabila mengarahkan buku itu diharamkan.

muslim women and the challenge of islamic extremism noraini othman Noor Hishamuddin juga berhujah bahawa orang ramai yang cetek pengetahuan agama Islam tidak boleh dengan sewenang-wenangnya berbincang agama Islam kerana ia akan menyebabkan akidah dan pegangan agama terjejas.

Beliau berkata alasan menteri bahawa buku itu (foto) adalah memudaratkan ketenteraman awam kerana mempertikaikan undang-undang keluarga Islam dan jenayah Islam adalah betul kerana tulisan itu bersifat menghukum dan tindakan itu boleh menyentuh kesucian Islam.

"Penulis buku itu cuba merungkai hukum Islam dengan fahaman dia sendiri," katanya.

Malik Imtiaz pula berhujah bahawa perintah menteri tidak disokong oleh para pakar dan garis panduan Jakim berhubung isu Islam tidak mempunyai kuatkuasa undang-undang memandangkan tiada dalam undang-undang yang menyebut bahwa Jakim adalah badan berkuasa dalam isu Islam.

Katanya, Artikel 11(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa memudaratkan ketenteraman awam berada bawah Perlembagaan Persekutuan, manakala isu akidah berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

Malik Imtiaz berkata penulis dalam buku itu hanya melahirkan pandangan di bidang akademik dan menghampiri pentadbiran Islam dan tidak menyentuh akidah.

Katanya, ia juga merupakan tanggungjawab menteri bagi membuktikan bahawa buku itu boleh mengelirukan pembaca di kalangan orang Islam. BERNAMA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS