Pemuda PAS akan membincangkang isu jawatan menantu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai peneraju Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dalam mesyuaratnya bulan depan.
Ketuanya Nasrudin Hassan berkata, kedudukan Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pegawai eksekutif PMBK, yang didesak berundur segera, akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan dewan itu.
"Kelmarin saya telah berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan maklumat sebenar dan berdialog. Ia (perjumpaan tersebut) dianjurkan lajnah politik Pemuda PAS.
"Perkara ini akan dibawa dalam mesyuarat penuh," kata Nasrudin kepada Malaysiakini hari ini, dengan menambah ia dijangka diadakan pertengahan Januari ini.
Tambahnya, pertemuan itu bertujuan memberikan ruang pihak-pihak berkenaan bersuara mempertahankan diri dan bukannya mahu mencari pihak mana yang salah atau benar.
Ditanya tentang hasrat Pemuda PAS Kelantan yang mahu mengadakan mesyuarat hari ini bagi mendesak pengunduran Abdul Ariffahmi serta-merta, Nasrudin berkata:
"Isu tersebut isu Kelantan. Terpulanglah kepada kebijaksanaan pemimpinnya, perhubungan negeri dan Pemudanya (untuk bertindak). "Mereka lebih dekat dengan isu tersebut. Selagi keputusan itu dibuat secara jemaah (berkumpulan), tidak apa."
Kelmarin, Pemuda PAS Kelantan dilaporkan mendesak Abdul Ariffahmi berundur segera daripada PMBK – bukan seperti beliau jadualkan pada 23 Mac tahun depan.
Isu tersebut dilaporkan akan dibincangkan dalam bermesyuaratnya, termasuk mungkin mengadakan pengundian bagi mendesak pengunduran Abdul Ariffahmi, yang juga exco Pemuda PAS negeri.
Ketua penerangannya Dr Rosli Allani Abd Kadir dilaporkan berkata, pengunduran segera Abdul Ariffahmi sangat penting kerana kontroversi yang membelenggunya boleh menjejaskan PAS.
Bagaimanapun, difahamkan mesyuarat tersebut – yang dilaporkankan berlangsung petang ini – tidak diadakan.
"Selepas keluar di akhbar, tidak ada pun surat jemputan bermesyuarat tiba," kata pengarah pilihan raya Pemuda PAS negeri, Mohd Nuri Mat Yaacob ketika dihubungi Malaysiakini.
Usaha mendapatkan komen Dr Rosli dan ketua Pemuda PAS Kelantan Abd Latif Abd Rahman setakat ini belum berhasil.
Sementara Abdul Arifahmi pula berkata beliau tidak akan tunduk kepada desakan dewan tersebut dan menganggapnya, yang membuat kenyataan terbuka, sebagai tindakan yang "tidak bijak".
Beliau berkata, isu kedudukannya di PMBK tidak perlu dibangkitkan lagi kerana semuanya telah dinyatakan dan hampir selesai.
Tambahnya, kenyataan Pemuda PAS negeri pasti memberi ruang kepada pihak musuh parti itu mengambil kesempatan berhubung konflik dalaman di Kelantan.