Setiausaha Pemuda Umno Kelantan, Bazlan Baharuddin berkata terdapat "sesuatu yang tak kena" sehingga mendorong Pemuda PAS Kelantan mendesak menantu menteri besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, segera meletak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan.
Beliau berkata sekiranya perkara itu tidak serius, mustahil Pemuda PAS berbuat demikian kerana mereka amat menghormati menteri besar dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Kalau orang dalaman sendiri mendesak Ariffahmi meletak jawatan, bermakna ada perkara serius di sebalik desakan itu," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas cadangan Dewan Pemuda PAS Kelantan untuk mengadakan mesyuarat bagi membincang dan mendesak Ariffahmi segera meletak jawatan.
Semalam, ketua penerangan Pemuda PAS Kelantan Dr Rosli Allani Abdul Kader berkata Pemuda PAS mungkin membincang lebih mendalam, termasuk mengadakan undian untuk membuat desakan itu.
"Apabila sampai kepada undian tidak percaya, bermakna isu ini serius dan Ariffahmi perlu menjelaskan perkara sebenar dan meletak jawatan segera," kata Bazlan.
Isu mengenai Ariffahmi timbul setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu pejabatnya sebanyak dua kali dan mengambil beberapa dokumen, manakala beberapa pemimpin PAS menasihatkan Nik Abdul Aziz meminta Ariffahmi meletak jawatan.
Ariffahmi, yang telah bersetuju meletak jawatan pada Mac tahun depan, menganggap Pemuda PAS Kelantan sebagai kurang bijak kerana membuat desakan itu.
Mengulas lanjut, Bazlan berkata: "Kalau Pemuda Umno desak, mereka kata politik, bila Pemuda PAS sendiri desak, nak kata apa lagi?" BERNAMA