Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Dedahkan kontraktor projek sakit'
Diterbitkan:  Dec 23, 2009 3:27 PM
Dikemaskini: 7:33 AM

Kerajaan digesa mendedahkan kepada umum bilangan kontraktor dan jumlah denda yang mereka bayar kerana gagal menyiapkan projek masing-masing.

Pengerusi biro pusat kesihatan dan pembangunan sosial Gerakan, Datuk Dr Ng Keong Chye berkata, demi ketelusan dan akauntabiliti, rakyat mesti diberi gambaran sebenarnya tentang apa yang berlaku.

"Malah kerajaan harus memberi amaran kepada kontraktor terbabit bahawa nama mereka akan diedahkan kepada umum jika mereka terus gagal menyiap projek, yang membabitkan jumlah besar wang pembayar cukai," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Ng, yang juga ADUN Ketari berkata, kerajaan juga harus mendedahkan nama kontraktor yang perkhidmatan mereka telah ditamatkan dan seharusnya disenaraihitamkan dari terus menyertai tender projek kerajaan.

"Sudah sekian lama kita mendengar aduan para menteri atau pegawai kerajaan bahawa projek kerajaan lewat disiapkan kerana beberapa sebab, terutama kerana ketidakupayaan kontraktor menyiapkan projek mereka.

"Kita mahu melihat lebih banyak tindakan konkrit diambil," kata Dr Ng lagi.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 18 daripada 86 projek infrastruktur di bawah kementeriannya gagal disiapkan dan dianggap sebagai 'projek sakit'

Katanya, semua projek sakit tersebut sama ada projek baru ataupun projek naik taraf yang masing-masing bernilai RM5 juta ke bawah.

ADS