Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
4 beranak maut, tiga rentung dalam kemalangan
Diterbitkan:  Dec 27, 2009 1:08 PM
Dikemaskini: 5:09 AM

Empat beranak terbunuh dengan tiga daripada mereka rentung manakala dua lagi cedera selepas van yang mereka naiki terbakar

dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di KM6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, di Tangkak malam tadi.

Ketiga-tiga mereka rentung selepas terperangkap dalam van Nissan Vanette yang terbalik dan terbakar selepas bertembung dengan sebuah Toyota Innova dan kemudiannya berlanggar dengan dua lagi kenderaan, kata Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Ledang Inspektor Sayuti Mohamad.

Katanya, mangsa yang rentung adalah Ong Buu Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Zhen Hui, 7, dan Zhen Zhee manakala seorang lagi anaknya, Zhen Jie meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar.

Isteri Ong, Tan Yee Kiang, 32, dan anak bongsu mereka, Ong Zhen Ki yang berumur satu setengah tahun berjaya diselamatkan oleh orang ramai dan kini dirawat di hospital yang sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil, katanya kepada pemberita di sini.

Sembilan penumpang dalam tiga buah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan kira-kira 10.30 malam itu hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar.

Menurut Sayuti, kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa sekeluarga yang berasal dari Jalan Kim Kee, Muar dalam perjalanan ke Tangkak.

"Setiba di tempat kejadian, van mangsa bertembung dengan kenderaan Toyota Innova yang datang dari arah Tangkak. Van tersebut kemudian terbalik dan terbakar selepas berlanggar dengan dua lagi kenderaan lain, Toyota Wish dan Toyota Vios," katanya.

Menurutnya lagi, ketiga-tiga mayat yang rentung dibawa ke Hospital Daerah Ledang di Tangkak untuk bedah siasat. - Bernama

ADS